Ramjeet Kaur Virik
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Jun - Peneraju syarikat tenusu di Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mengumumkan pelantikan Ramjeet Kaur Virik selaku Pengarah Urusannya berkuatkuasa 2 Julai 2021.
Ramjeet, 44, bakal menggantikan Tarang Gupta yang telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Alaska Milk Corporation di Filipina, iaitu anak syarikat FrieslandCampina berkuatkuasa 1 Ogos 2021, menurut Dutch Lady.
Jelas syarikat tenusu itu, Ramjeet, turut akan memegang peranan selaku Pengarah Eksekutif serta sebagai ahli Lembaga Pengarah di DLMI dan melaporkan diri kepada Berndt Kodden iaitu Presiden, bahagian Specialised Nutrition (Global), FrieslandCampina.
“Ramjeet yang sekarang merupakan Pengarah Pemasaran (bahagian Consumer Dairy) untuk DLMI, mula berkhidmat dengan syarikat pada tahun 2011 selaku Pengurus Pemasaran untuk produk minuman berasaskan susu.
“Beliau kemudian berpindah ke Indonesia untuk bertugas bersama PT Frisian Flag Indonesia, menjawat peranan yang sama untuk kategori susu pekat manis sebelum menjawat jawatan Pengurus Pemasaran Antarabangsa berpangkalan di Singapura.
“Pada Januari 2018, Ramjeet telah dilantik sebagai Pengarah Pemasaran untuk kategori Consumer Dairy di DLMI di mana beliau mengetuai portfolio tersebut dan berjaya memperkukuhkan kedudukan pasaran selama tiga tahun,” jelas Dutch Lady dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu lagi, Ramjeet yang merupakan warganegara Malaysia itu memiliki pengalaman kerja lebih dari 20 tahun dalam bidang pemasaran pengguna dan pembangunan perniagaan.
Beliau juga pernah menjawat peranan pucuk kepimpinan di beberapa syarikat multinasional dan kini bersedia meneraju DLMI untuk merealisasikan peranan utama syarikat, ujar Dutch Lady lanjut.
“Ramjeet akan meneruskan segala usaha yang telah dibangunkan di bawah kepimpinan Tarang yang telah berjaya memperkukuhkan kedudukan pasaran DLMI selaku peneraju syarikat tenusu di Malaysia selain mempereratkan lagi hubungan dengan pemegang taruh dan rakan-rakan perniagaan serta mempersiapkan syarikat menuju ke arah pembangunan hub pengilangan baharu bertaraf dunia bernilai RM400 juta yang bakal beroperasi pada tahun 2023,” jelas syarikat itu lagi. - DagangNews.com