Rasionalisasi subsidi diesel tidak mungkin jejas jumlah jualan Petronas Dagangan – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Rasionalisasi subsidi diesel tidak mungkin jejas jumlah jualan Petronas Dagangan – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Petronas Dagangan Berhad bersedia untuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang tidak mungkin menjejas jumlah jualan dieselnya memandangkan ia merupakan bahan api penting, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini juga terbukti daripada data sejarah ketika pengapungan harga petrol dan diesel pada 2019, yang tidak menunjukkan kesan material terhadap jumlah jualan runcit syarikat penjual produk petroleum itu.

 

‘Neutral’ terhadap prospek jangka pendek Petronas Dagangan, firma tersebut berkata syarikat itu tidak dijangka memperoleh sumbangan pendapatan yang besar daripada pengecasan kenderaan elektrik (EV) bagi tahun kewangan 2024 (FY24), memandangkan pasaran EV masih di peringkat awal.

 

“Dengan 20 stesen pengecas AC yang tersedia, rakan kongsi Petronas Dagangan, Gentari, akan meningkatkan kapasiti pada tahun-tahun akan datang. Syarikat itu akan memperoleh pendapatan melalui yuran yang dibayar oleh Gentari atau pengaturan perkongsian keuntungan, tanpa operasi stesen pengecasan secara langsung,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, Petronas Dagangan lebih berhati-hati dalam penambahan cawangan Café Mesra kerana keadaan pasaran yang lemah.

 

Meskipun cawangan kafe tersebut di pusat beli-belah, bangunan pejabat, stesen dan terminal LTR/MRT menunjukkan prestasi yang lebih baik dipacu trafik pengunjung lebih tinggi, Kenanga Research berkata sumbangan Café Mesra kepada hasil bahagian kedai serbanekanya masih tidak ketara pada masa ini.

 

Firma itu berkata ia menyukai kumpulan itu disebabkan oleh perniagaannya menjana tunai yang tinggi dengan kapasiti tinggi untuk membayar dividen; kunci kira-kiranya kukuh dengan dana cukup besar iaitu RM2.8 bilion; dan (iii) pendapatan bahagian kedai serbaneka yang semakin meningkat disokong permintaan lebih kukuh untuk Café Mesra.

 

“Bagaimanapun, kami bimbang tentang prospek jangka panjang perniagaan runcitnya disebabkan oleh penggunaan EV,” tambahnya.

 

Firma berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan Petronas Dagangan dan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) RM22.40 sesaham.

 

Setakat pukul 12:07 tengah hari ini, saham kumpulan itu kekal pada RM20.98 dengan permodalan pasarannya bernilai RM20.8 bilion. - DagangNews.com