KUALA LUMPUR 10 Dis - Syarikat jururunding tempatan dalam industri keselamatan, Reliacraft Consultancy Sdn. Bhd. (Reliacraft Consultancy)
menawarkan latihan kemahiran profesional berkaitan ujian tanpa musnah (Non Destructive Testing - NDT).
NDT merupakan satu bentuk pengujian bahan atau komponen tanpa memusnah, merosak atau mengubah struktur bahan tersebut.
Aplikasi NDT digunakan secara meluas dalam sektor industri minyak dan gas, pembuatan, perkapalan, aeroangkasa, landasan keretapi dan loji kuasa.
Pengurus Projek Reliacraft Consultancy, Noorhayati Romli berkata, latihan itu akan ditawarkan khususnya kepada pekerja-pekerja industri luar pesisir pantai (offshore).
Menurut beliau, program latihan itu akan dijalankan menerusi kerjasama dengan rakan strategik Reliacraft Consultancy iaitu firma keselamatan industri Wens dari Dubai.
"Menerusi kerjasama ini, Reliacraft Consultancy dengan kerjasama Wens bakal menjadi penyedia latihan wakil sah bagi pihak The British Institute of Non-Destructive Testing (BI-NDT).
"BI-NDT merupakan sebuah badan pentauliahan profesional berprestij dalam bidang ini terutama kepada jurutera dan profesional teknikal.
"Reliacraft Consultancy juga akan menyediakan perkhidmatan 'Exam Computer Based' yang terkini dan diiktiraf bersesuain dengan modul yang diajar," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Reliacraft Consultancy yang berpengkalan di Putra Heights, Selangor merupakan anak syarikat Reliacraft Group, sebuah kumpulan milik bumiputera yang menjurus pada bidang perkhidmatan berkaitan gas dan petroleum.
Mengulas lanjut kata Noorhayati, Reliacraft Consultancy yang ditubuhkan 11 tahun lalu, bermula dengan menyediakan perkhidmatan nasihat kepada pelanggan dalam bidang audit.
Ujarnya, syarikat itu juga mempunyai tenaga pengajar yang sangat berpengalaman melebihi 20 tahun dalam industri NDT.
"Latihan ini akan dilaksanakan sepenuhnya dalam negara tanpa perlu ke Dubai, jadi ia menjimatkan pada syarikat yang menyertai program ini.
"Latihan profesional oleh Reliacraft Consultancy ini dapat membantu melahirkan tenaga kerja mahir bidang NDT yang diperlukan industri," ujar beliau. - DagangNews.com