Reservoir Link catat untung bersih 3 kali ganda lebih tinggi pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link catat untung bersih 3 kali ganda lebih tinggi pada 1QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Reservoir Link Energy Bhd mencatat keuntungan bersih RM1.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1QFY24), melonjak hampir tiga kali ganda daripada RM428,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan yang terlibat dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui serta minya dan gas itu meningkat 63% kepada RM67.7 juta berbanding RM41.4 juta tahun lalu manakala pendapatan sesahamnya sebanyak 0.41 sen daripada 0.15 sen sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Reservoir Link berkata peningkatan pendapatan didorong oleh segmen tenaga boleh diperbaharui, serta segmen minyak dan gas, yang masing-masing menyumbang pendapatan sebanyak RM16.4 juta dan RM9.9 juta.

 

Mengulas mengenai prospek, syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu berkata beberapa kontrak yang dianugerahkan oleh PetronaS dan kontraktor pengaturan petroleum (PAC) kepada kumpulan menunjukkan prospek positif terhadap aktiviti minyak dan gas pada 2023.

 

Di samping itu, Reservoir Link menjangkakan lebih banyak aktiviti daripada sektor tenaga boleh diperbaharui pada tahun-tahun akan datang untuk mengukuhkan tumpuan strategik negara terhadap tenaga lestari.

 

Menurut kumpulan itu, anak syarikat miliknya 51%, Founder Group Limited (FGL) sedang mempertimbangkan untuk disenaraikan di bursa saham Nasdaq, menawarkan fleksibiliti kewangan yang dipertingkatkan melalui platform pengumpulan dana baharu bagi mempercepatkan trajektori pengembangan dan pertumbuhan perniagaan solarnya.

 

“Dengan memanfaatkan bursa saham Nasdaq, FGL juga akan dapat meningkatkan imej dan keterlihatan korporatnya untuk menembusi pasaranlebih luas, sekali gus meluaskan pangkalan pelanggan dan pelabur sedia ada.

 

“Seterusnya, penyempurnaan pengambilalihan Founder dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan kerana vendor telah memberikan jaminan keuntungan sebanyak RM13.8 juta untuk 24 bulan akan datang dari tarikh siap,” tambanya.

 

Reservoir Link berkata ia terus mengambil bahagian secara aktif dalam tender untuk projek minyak dan gas serta tenaga boleh diperbahari.

 

Sehubungan itu, kumpulan itu akan melaksanakan strategi perniagaannya dengan berhati-hati untuk mengekalkan pertumbuhannya bagi memberikan prestasi yang memuaskan pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Saham Reservoir Link ditutup rendah 0.5 sen atau 1.5% pada 32 sen, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM101.4 juta. - DagangNews.com