Reservoir Link dapat subkontrak solar PV RM8.42 juta di Terengganu | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link dapat subkontrak solar PV RM8.42 juta di Terengganu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Reservoir Link Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, Founder Energy Sdn Bhd (FESB) memperoleh pesanan belian (PO) daripada Solar Bina Engineering Sdn Bhd bagi kerja-kerja subkontrak untuk projek solar fotovoltan berskala besar di Marang, Terengganu.

 

PO yang bernilai RM8.42 juta itu diterima FESB hari ini, melibatkan kerja-kerja pemasangan, pengujian dan komunikasi modul PV, pembalik, kabel DC dan kerja yang berkaitan, menurut makluman Reservoir Link di Bursa Malaysia.

 

“Tarikh penyempurnaan PO itu adalah pada 31 Mac 2022. FESB perlu memberikan bon prestasi dalam bentuk Jaminan Bank dari bank tempatan yang boleh dipercayai.

 

“FESB harus mematuhi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Nasional Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan akta pihak berkuasa lain dan peraturan serta perlu mengemukakan pemberitahuan kepada CIDB,” jelas Reservoir Link.

 

Menurut kumpulan, PO yang diperoleh itu dijangka tidak mendatangkan sebarang kesan ke atas modal saham, dan pemegangan saham oleh pemegang saham besarnya. 

 

Dalam masa sama, ia juga dijangka tidak mendatangkan impak serta-merta ke atas aset bersih sesaham dan penggearan Reservoir Link.

 

“Bagaimanapun, PO dijangka menyumbang secara positif ke atas perolehan dan perolehan sesaham kumpulan semasa tempoh tersebut,” jelas kumpulan lagi. - DagangNews.com