Revenue Group cadang penempatan persendirian bagi mengumpul dana sehingga RM24.3 juta | DagangNews Skip to main content

Revenue Group cadang penempatan persendirian bagi mengumpul dana sehingga RM24.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - Revenue Group Berhad bercadang untuk mengadakan penempatan persendirian tidak lebih daripada 10% daripada saham terbitannya bagi mengumpul dana sehingga RM24.31 juta, terutamanya untuk modal kerja.

 

Penempatan itu memerlukan penerbitan sehingga 53.32 juta saham baharu kepada pelabur pihak ketiga yang bebas.

 

Sehingga 31 Mei, modal saham terbitan kumpulan itu berjumlah RM202.03 juta, terdiri daripada 544.79 juta saham dan 93.9 juta waran.

 

Pada lalu Januari, kumpulan itu menyaksikan perbalahan dalam kalangan ahli lembaganya selepas penggantungan fungsi eksekutif pengasas bersamanya Brian Ng Shih Chiow dan adiknya Dino Ng Shih Fang sementara menunggu siasatan terhadap mereka. 

 

Sejak itu, mereka tidak lagi menjadi pemegang saham utama kumpulan itu.

 

Susulan penggantungan itu, kumpulan melantik Francis Leong Seng Wui sebagai pengarah eksekutifnya. 

 

Beliau muncul sebagai pemegang saham besar kumpulan itu dengan 5.24% kepentingan pada 19 Mei.

 

Pada Mac, pengarah urusan kumpulan, Datuk Eddie Ng Chee Siong juga tidak lagi menjadi pemegang saham besar kumpulan itu dan meletakkan jawatannya.

 

Kumpulan itu berkata, daripada jangkaan perolehan sebanyak RM24.31 juta daripada penempatan persendirian, mereka berhasrat menggunakan sehingga RM13.17 juta untuk modal kerja.

 

Kumpulan itu berkata penempatan itu mungkin dilaksanakan dalam berbilang tranche, dengan harga terbitan untuk setiap tranche akan ditentukan secara berasingan.

 

“Pelaksanaan pengaturan penempatan dalam berbilang peringkat akan memberikan kelonggaran kepada syarikat untuk mendapatkan pelabur yang berminat untuk melanggan saham peletakan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Penempatan persendirian itu dijangka siap pada suku keempat 2023. - DagangNews.com