RGT catat untung bersih RM1.59 juta pada suku kedua, optimis dengan prospek kumpulan | DagangNews Skip to main content

RGT catat untung bersih RM1.59 juta pada suku kedua, optimis dengan prospek kumpulan

KUALA LUMPUR 9 Feb - RGT Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM1.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022, meningkat sedikit daripada RM1.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Syarikat tersebut yang perniagaan terasnya merangkumi penyelesaian penjagaan kebersihan dan pengecatan semburan ketepatan menyaksikan pendapatannya dalam  bagi tempoh itu meningkat kepada RM26.69 juta daripada RM26.19 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Peningkatan pendapatan pada suku berkenaan terutamanya disebabkan peningkatan permintaan bagi produk penjagaan kebersihan.

 

Bagi kumulatif enam bulan, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM3.92 juta daripada RM2.63 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM59.72 juta berbanding RM45.54 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ini didorong terutamanya oleh peningkatan dalam permintaan untuk segmen EPP dan kemasukan hasil daripada Keenness Precision Engineering Sdn Bhd yang diperoleh pada Januari 2022.

 

Mengenai prospek kumpulan, RGT berkata, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan jualan masa hadapan di sebalik persekitaran ekonomi global kekal mencabar.

 

Katanya, kumpulan menjangkakan untuk mendapatkan lebih banyak perniagaan hasil daripada perang perdagangan dan peluang daripada kepelbagaian syarikat multinasional ke Asia Tenggara.

 

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif kami untuk menawarkan penyelesaian sehenti, kumpulan akan terus melabur dalam penyelidikan, pembangunan produk serta meningkatkan lagi keupayaan pembuatannya untuk menjadi lebih berdaya saing, tangkas dan berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com