RHB Investment kekal ‘overweight’ terhadap sektor hartanah didorong pasaran Iskandar Puteri dengan projek RTS, HSR | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal ‘overweight’ terhadap sektor hartanah didorong pasaran Iskandar Puteri dengan projek RTS, HSR

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - RHB Investment kekal ‘overweight’ terhadap sektor hartanah yang akan dipacu oleh pasaran Iskandar Puteri memandangkan trafik rentas sempadan dirangsang oleh projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan kereta api laju (HSR) KL-Singapura.

 

“Kami percaya trafik rentas sempadan akan menjadi lebih berleluasa dengan penyiapan RTS Johor Bahru-Singapura pada akhir 2026 dan mungkin HSR KL-Singapura dalam tempoh sepuluh tahun.

 

“Sebagai tambahan kepada aliran masuk pelaburan yang sihat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, pasaran hartanah Johor mungkin kembali dalam radar semula pada tahun-tahun akan datang. UEM Sunrise ialah proksi yang baik untuk permainan tema ini, pada pandangan kami,” katanya dalam nota peyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, Johor dilaporkan akan menyaksikan pelaburan baharu bernilai RM17 bilion bagi pusat data pada 2024 sahaja.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa pasaran hartanah Iskandar Puteri telah beralih daripada isu lebihan bekalan dan ketakutan terhadap Forest City.

 

Walaupun tiada pemaju tersenarai mempunyai projek di pusat bandar Johor Bahru, firma itu berkata keseluruhan pasaran hartanah Iskandar Puteri dijangka mendapat manfaat daripada pulangan pelabur dan pembeli hartanah, baik warga tempatan mahupun warga asing.

 

Tambahnya, ini akan dirangsang lagi dengan peningkatan perbelanjaan daripada pelawat dari Singapura serta projek HSR KL-Singapura yang dimulakan semula.

 

Di samping itu, RHB Investment berkata terdapat kira-kira 11 projek mengelilingi stesen RTS di Bukit Chagar dengan purata harga jualan (ASP) RM1,000 sehingga RM1,300 setiap kaki persegi, setanding dengan purata harga kondominium di kawasan KLCC.

 

Menurut firma itu, harga sewa dan rumah yang mahal di Singapura akan menaikkan permintaan sewa di bandar Johor Bahru, berdekatan tambak dan laluan kedua, dalam tempoh satu sehingga dua tahun akan datang.

 

“Selain daripada aliran berita yang positif, sewa mahal dan harga rumah di Singapura menjadi faktor pendorong kepada rakyat Malaysia atau ekspatriat yang bekerja di Singapura untuk berpindah ke Johor, memandangkan jarak dekat dan perbezaan harga,” tambahnya.

 

Pilihan utama firma itu bagi sektor hartanah adalah UEM Sunrise Bhd (beli, harga sasaran (TP): 70 sen), IOI Properties Group Bhd (beli, TP: RM1.46) dan Matrix Concepts Holdings Bhd (beli, TP: RM1.75). - DagangNews.com