RHB Investment kekal penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan, IHH sebagai pilihan utama | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan, IHH sebagai pilihan utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - RHB Investment mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan IHH Healthcare Bhd sebagai pilihan utama.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, sektor penjagaan kesihatan swasta bersedia untuk mencatat prestasi yang lebih baik pada separuh kedua 2024 berdasarkan strategi pengembangan organik, dan lanjutan kemasukan tanpa visa untuk pelancong dari China dan India. 

 

"Beberapa penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta telah mengumumkan rancangan pembesaran mereka sejak beberapa bulan lalu dengan melaksanakan inisiatif bagi meningkatan kehadiran domestik mereka. 

 

"Kami menganggarkan katil hospital swasta terus berkembang sekurang-kurangnya pada kadar pertumbuhan terkompaun (CAGR) sebanyak 2.9% pada 2022 hingga 2025 dengan mengambil kira perancangan sedia ada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, IHH kekal sebagai pilihan utama, disokong oleh profil margin yang stabil, lokasi aset strategik, kunci kira-kira yang kukuh dan pelan pengembangan yang lebih agresif berbanding rakan setaranya.

 

Katanya, IHH mempunyai bahagian terbesar dengan hasil pelancongan kesihatan sebanyak RM220 juta pada 2023 atau 11% daripada jumlah hasil keseluruhan Malaysia.

 

Ia kemudian diikuti oleh KPJ Healthcare Bhd dengan 10% dan Sunway Healthcare Group dengan 9%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara realtifnya, Sunway Healthcare mempunyai sumbangan hasil terbesar dalam pelancongan kesihatan iaitu 10% berbanding IHH dan KPJ antara 5% hingga 6%.

 

"Ini disebabkan kehadiran strategik Pusat Perubatan Sunway dalam perbandaran bersepadunya di Sunway City, yang dikelilingi oleh kejiranan kediaman matang, resort bersepadu, universiti, hotel, galeri beli-belah dan bangunan komersial," katanya.

 

Sementara itu, segmen farmaseutikal seharusnya menyaksikan pemulihan yang lebih baik pada separuh kedua 2024 disokong oleh peningkatan dalam penjagaan kesihatan pengguna dan segmen produk di kaunter.

 

"Peningkatan dalam aktiviti perdagangan dan pembuatan, seperti yang dicadangkan, ia seharusnya menyokong pertumbuhan firma farmaseutikal dengan pendedahan eksport – contohnya Kotra Industries (32%) dan Duopharma Biotech (Duopharma) (8%)," katanya. - DagangNews.com