RHB Investment positif terhadap prospek Sunway Construction dipacu kontrak pembinaan pusat data | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek Sunway Construction dipacu kontrak pembinaan pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - RHB Investment positif terhadap prospek Sunway Construction Group Bhd dipacu kontrak pembinaan pusat data (DC) serta serta pekerjaan industri lain seperti gudang dan kemudahan pembuatan semikonduktor.

 

Katanya, mereka menjangkakan kemenangan kontrak baharu kumpulan itu sekurang-kurangnya RM4 bilion setahun, menyokong pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 24% antara 2023 hingga 2026. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, Sunway Group sebelum ini menjual dua bidang tanah seluas 25.8 hektar di Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) kepada syarikat Equalbase yang berpangkalan di Singapura untuk pembangunan DC.

 

Ia adalah tambahan kepada hab logistik neutral karbon bernilai RM8 bilon Equalbase dalam zon komersial SCIP. 

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan menjadi pendahulu untuk sama ada hab logistik tersebut atau mana-mana kerja pembinaan DC di SCIP," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, berdasarkan maklumat Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), nilai urus niaga hartanah industri di Selangor meningkat sebanyak 20% dari tahun ke tahun pada suku pertama 2024 manakala Johor mencatatkan pertumbuhan lebih besar sebanyak 61% bagi tempoh yang sama.

 

Katanya, melangkah ke hadapan, Sunway Construction menganggap pembangunan melibatkan bangunan perindustrian adalah sebagai pengimbang sekiranya pasaran DC menjadi terlalu tepu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu terlibat dengan projek gudang pusat pengedaran global Daiso Malaysia bernilai RM298 juta di Pelabuhan Klang.

 

"Kami mengambil peluang untuk meningkatkan andaian penambahan kerja kami untuk FY25 dan FY26 masing-masing kepada RM4 bilion (dari MYR3.5bn), yang membawa kepada peningkatan 2% dalam pendapatan FY25 dan FY26," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM6.29 berbanding RM4.92 sesaham.- DagangNews.com