RHB Investment unjur jualan kereta merosot 22 peratus pada 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur jualan kereta merosot 22 peratus pada 2024

Kereta keluaran Honda menguasai 10 peratus pasaran pada tahun 2023. / Gambar hiasan FB Honda Malaysia
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Jan - Jumlah jualan kereta pada 2024 dijangka merosot lebih 20 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan rekod jualan tertinggi sepanjang masa dengan sebanyak 799,731 unit.

 

Menurut RHB Investment, jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada 2024 diunjurkan kepada 625,000 iaitu penyusutan sebanyak 22 peratus berbanding 2023 akibat kurangnya faktor pemangkin yang boleh meningkatkan paras jualan ke tahap baharu.

 

Malah kata firma itu, jumlah jualan kereta yang sangat tinggi pada tahun 2023 dan 2022 menggambarkan pengguna Malaysia sudah lama menangguhkan pembelian barangan mahal ketika tempoh pandemik COVID-19 iaitu pada tahun 2020 dan 2021.

 

Pengguna kemudian mendapat rangsangan besar untuk membuat pembelian apabila kerajaan memberikan pengecualian cukai jualan, kata penganalisis firma tersebut.

 

"Pelancaran model kereta berharga murah pada dua tahun lalu seperti model Perodua Myvi yang dipertingkatkan, model Axia serba baharu dan model Proton Saga 2022 juga melonjakkan permintaan pasaran untuk kereta nasional," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Investment dalam nota kajian itu turut menjangkakan lebih banyak kenderaan elektrik (EV) akan diguna pakai oleh pengguna pada tahun ini.

 

Katanya, ini susulan pelancaran model kereta berharga bawah RM250,000 baru-baru ini seperti Model 3 dan Model Y Tesla, Model V Neta dan Smart #1, yang diedarkan oleh anak syarikat Proton, Pro-Net.

 

Namun begitu, firma tersebut mengunjurkan pasaran EV akan berlegar sekitar paras semasa yang mana pada 2023, jualan EV termasuk hibrid (xEV) berjumlah 38,000 unit merangkumi sekitar 5 peratus daripada jumlah TIV.

 

Kata penganalisis itu, pasaran EV hanya akan mencatat kenaikan ketara selepas 2025 setelah tamatnya tempoh harga lantai RM100,000 bagi EV diimport sepenuhnya (CBU) dan apabila pengeluar kereta tempatan mula menawarkan model kereta EV mereka sendiri.

 

"Saranan 'Neutral' sektor (automotif) dikekalkan kerana kami mengambil langkah berjaga-jaga akan gambaran 2024 berdasarkan kekurangan faktor pemangkin untuk mendorong jualan dan perolehan kepada paras baharu. 

 

"Tunggakan tempahan yang semakin mereda menunjukkan prestasi 2024 dijangka berada pada tahap lebih lemah. Kami terus menggemari Bermaz Auto berikutan pulangan kadar hasil dividen kira-kira 10 peratus dan catatan jualan keretanya yang agak bertahan. 

 

"Bermaz Auto dipilih menjadi syarikat pilihan utama dalam sektor ini," kata RHB Investment.- DagangNews.com