Ringgit jatuh akibat kemerosotan daya saing Malaysia sejak Krisis Kewangan Asia, kejutan 1MDB | DagangNews Skip to main content

Ringgit jatuh akibat kemerosotan daya saing Malaysia sejak Krisis Kewangan Asia, kejutan 1MDB

Ringgit cecah 4.809 berbanding AS$1, paras terendah sejak Januari 1998./Gambar Alexander Grey
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Feb - Penurunan ringgit kepada 4.8 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, adalah simptom kejatuhan daya saing Malaysia sejak Krisis Kewangan Asia pada 1998, dan kejutan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apurva Sanghi mempertimbangkan sebab-sebab di sebalik kejatuhan mendadak ringgit berbanding dengan mata wang ASEAN lain, dipengaruhi oleh faktor luaran yang sama iaitu kelembapan ekonomi China dan kenaikan kadar faedah AS.

 

Menerusi laman X, beliau berkata, faktor luaran ini mempunyai kesan yang berbeza-beza berikutan keadaan domestik dan tindak balas negara.

 

Apurva menjelaskan bahawa peso Filipina, dong Vietnam, rupiah Indonesia, baht Thailand, kesemuanya telah menyusut kurang daripada ringgit berbanding dolar AS, sejak kenaikan kadar AS yang lalu.

 

Sebagai contoh, dong Vietnam, yang lebih bergantung kepada eksport kepada China berbanding Malaysia, telah menyusut lebih rendah daripada ringgit.

 

 

"Ringgit yang lemah akhirnya merupakan gejala penurunan jangka panjang dalam daya saing Malaysia," katanya.

 

Memetik prestasi mengatasi baht Thailand dan won Korea sejak Krisis Kewangan Asia, Apurva berkata, ringgit bermula lebih kukuh selepas krisis itu, namun kedua-dua mata wang berkenaan lebih kukuh sekarang kerana Thailand dan Korea Selatan, boleh dikatakan, dua negara yang paling banyak melakukan pembaharuan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit cecah 4.809 berbanding AS$1, paras terendah sejak Januari 1998

 

"Mereka memilih untuk kesakitan jangka pendek; keuntungan jangka panjang...tetapi bukan Malaysia," katanya.

 

Apurva juga berkata, Malaysia kali terakhir menyaksikan surpus fiskal pada 1997, dengan bahagian pelaburan keluaran dalam negari kasar (KDNK) jatuh daripada 43 peratus kepada 19 peratus sejak itu.

 

Defisit fiskal Malaysia mencapai 5 peratus pada 2023.

 

Bahagian eksport KDNK juga telah jatuh daripada 120 peratus pada 1999 kepada 68 peratus pada 2023.

 

Apurva berkata kejutan 1MDB, juga menjejaskan sentimen pasaran dan mengurangkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur asing.

 

"Akhirnya, mata wang mencerminkan kerancakan masyarakat, ekonomi, politik negara," tambahnya.

 

Sehingga tengah hari, ringgit diniagakan pada 4.775 kepada dolar AS. - DagangNews.com