Risiko inflasi timbul daripada langkah-langkah reformasi terus menjadi kegusaran utama pelabur – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Risiko inflasi timbul daripada langkah-langkah reformasi terus menjadi kegusaran utama pelabur – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Kegusaran utama pelabur akan terus berkisarkan risiko inflasi yang timbul daripada langkah-langkah reformasi, termasuklah rasionalisasi subsidi dan cukai penggunaan, menurut RHB Investment.

 

Kekal dengan pendirian ‘neutral’ ke atas sektor barangan pengguna, firma penyelidikan itu berkata sentimen pelabur terhadap sektor barangan pengguna dijangka kekal hambar sehinggalah ada maklumat lebih jelas mengenai impak yang mungkin timbul daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

 

“Pakar ekonomi kami mengunjurkan pertumbuhan penggunaan swasta yang sederhana untuk 2024 sebanyak 3.3% tahun ke tahun dan kenaikan inflasi kepada 3.3%.

 

“Oleh itu, sentimen pengguna terus hambar, lantas menyebabkan pertumbuhan jumlah jualan yang suram buat kebanyakan syarikat pengguna di bawah liputan kajian kami.

 

“Keadaan ini juga mungkin akan mengehadkan sebarang pertumbuhan pada harga jualan purata (ASP), maka tidak banyak peluang dijangka untuk perkembangan margin untung kasar (GPM),” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Perbelanjaan diperkukuh

Sementara itu, RHB Investment berpendapat bahawa perbelanjaan pengguna akan diperkukuh oleh kestabilan pasaran pekerjaan dan bantuan kerajaan yang terus diberikan kepada kumpulan berpendapatan lebih rendah, meskipun perbelanjaan pengguna tidak begitu rancak.

 

Firma penyelidikan itu berkata penilaian semasa mungkin telah mengambil kira risiko negatif, dan dalam andaian kes asasnya, rasionalisasi subsidi tidak dijangka akan mengurangkan perbelanjaan pengguna.

 

Firma tersebut berkata andaian ni dibuat berdasarkan bantuan yang masih dihulurkan oleh kerajaan kepada kumpulan berpendapatan lebih rendah dan permintaan yang agak tekal daripada kumpulan berpendapatan tinggi.

 

Ia menambah bahawa pendekatan bersasar yang mungkin dilaksanakan bakal menyebabkan adanya peralihan tunai daripada kumpulan berpendapatan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah, iaitu kumpulan pengguna yang lebih cenderung untuk berbelanja.

 

“Selain itu, kedudukan fiskal yang kukuh hasil daripada usaha-usaha reformasi dapat memberikan lebih banyak ruang untuk kerajaan menyemak semula skim gaji bagi penjawat awam (sedang dijalankan). Hasil yang positif dapat menjadi pemangkin besar untuk mendorong perbelanjaan pengguna,” katanya.

 

Syarikat pilihan utama RHB Investment bagi sektor ini adalah MR DIY Group (M) Bhd dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM2.29 sesaham, diikuti DXN Holdings Bhd (beli, TP: 93 sen), Heineken Malaysia Bhd (beli, TP: RM30) dan Guan Chong Bhd (beli, TP: RM3).   - DagangNews.com