RMKe-12: Fokus tingkatkan ekonomi Sabah, Sarawak pastikan lebih inklusif, seimbang | DagangNews Skip to main content

RMKe-12: Fokus tingkatkan ekonomi Sabah, Sarawak pastikan lebih inklusif, seimbang


Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept – Penekanan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi meningkatkan pembangunan ekonomi di Sarawak dan Sabah merupakan satu fokus pembangunan yang baik  bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan seimbang, menurut Ahli Ekonomi MIDF Research,  Abdul Mui'zz Morhalim.

 

“Malah, penekanan kerajaan terhadap pembangunan menyeluruh (whole-of-nation) dijangka akan turut menggalakkan aktiviti ekonomi di negeri-negeri lain dan pelbagai sektor di Malaysia,” katanya kepada DagangNews.com ketika diminta mengulas mengenai pembentangan RMKe-12.

 

Pada pembentangan RMKe-12, di Parlimen pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mempergiatkan usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak.

 

Katanya, ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

 

Menurut Abdul Mui'zz: “Agenda pembangunan dalam (RMKe-12) secara kasarnya menepati jangkaan kami kerana matlamat pembangunan dalam RMKe-12 antaranya bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana kita masih dibelenggu kesan-kesan pandemik COVID-19.

 

Katanya, RMKe-12 juga menetapkan sasaran pembangunan yang mampan dan inklusif termasuk pembangunan ekonomi digital; sokongan kepada pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); dan juga memastikan kelestarian alam sekitar melalui pembangunan hijau dan memelihara prinsip-prinsip ESG dalam agenda pembangunan negara.

 

Selain itu, Abdul Mui'zz berkata kerajaan juga menyasarkan inisiatif dalam RMKe-12 dapat meningkatkan kesejahteraan dan sosioekonomi rakyat.

 

“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kedudukan semasa fiskal negara yang terjejas akibat krisis kesihatan awam yang bermula sejak tahun lalu, pertumbuhan yang mampan dijangka akan memberi peluang kepada kerajaan untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara dalam tahun-tahun akan datang.

 

 

Abdul Mui'zz Morhalim
Abdul Mui'zz Morhalim

 

 

Berdasarkan unjuran bagi RMKe-12, defisit fiskal dijangka akan menurun ke paras -3.0% ke -3.5% pada tahun 2025.

 

Abdul Mui'zz  berkata peruntukan berterusan bagi pembangunan infrastruktur adalah antara rancangan yang dijangka akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

 

Katanya, peruntukan RM400 bilion bagi pembangunan di bawah RMKe-12 membayangkan secara purata RM80 bilion akan dibelanjakan setiap tahun bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

 

Antara projek yang dinyatakan dalam RMKe-12 termasuk penyediaan infrastruktur digital bagi menambah baik rangkaian 4G dan pelaksanaan 5G dalam negara.

 

Selain itu, projek-projek seperti Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 (Rawang-Salak Selatan), Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh raya Pantai Barat, dan Central Spine Road. Peningkatan capaian internet dan jaringan pengangkutan dijangka akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam negara.

 

Mengenai isu kesejahteraan rakyat pula, Abdul Mui'zz  berpendapat usaha yang lebih perlu diberikan bagi memperkasa ekonomi rakyat.

 

Katanya, program pendidikan dan latihan adalah inisiatif dijangka mampu meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara yang telah bertambah buruk akibat pandemik COVID-19.

 

“Tahap pendapatan isi rumah yang lebih tinggi perlu dicapai bagi menggalakkan agihan pendapatan dan kekayaan yang saksama kepada para pekerja dan sektor isi rumah. “

 

“Selain itu, pemilikan ekuiti bumiputera juga antara isu yang masih memerlukan perhatian kerana sasaran 30% masih belum berjaya dicapai,” katanya.

 

Berdasarkan pencapaian RMK11, Abdul Mui'zz berkata milikan ekuiti bumiputera hanya meningkat kepada 16.9% pada 2018 berbanding 16.2% pada 2015.

 

Sementara itu, Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata sebagai seorang yang berasal dari Sabah, beliau mengalu-alukan peruntukan yang lebih besar bakal diagihkan kepada negeri berkenaan.

 

 

Dr. Oh Ei Sun
Dr. Oh Ei Sun

 

 

Semalam, perdana menteri mengumumkan  peruntukan berjumlah RM7.7 bilion, iaitu RM3.61 bilion  kepada negeri Sabah dan RM4.09 bilion kepada negeri Sarawak sepanjang tempoh RMKe-12.

 

Menyentuh tentang infrastruktur, Oh berkata kerajaan harus memastikan kedua negeri berkenaan mendapat bekalan elektrik yang stabil.

 

Katanya, bekalan elektrik di Sarawak lebih stabil kerana ia mempunyai Empangan Bakun, berbanding dengan Sabah yang mempunyai bekalan elektrik yang kurang stabil.

 

Oh juga berpendapat kerajaan harus mempertingkatkan bekalan air bersih, jalan raya dan juga laluan keretapi pendek bagi menyambungkan Sabah dan Sarawak.

 

Katanya laluan kereta sejajar dengan laluan Lebuh raya Pan Borneo wajar dibina kerana ia akan menjana ekonomi.

 

Sebagaimana kita ketahui, katanya, keretapi boleh mengangkut barangan dan penumpang. DagangNews.com