RTBA: Sarawak di landasan betul untuk buka semula pelancongan | DagangNews Skip to main content

RTBA: Sarawak di landasan betul untuk buka semula pelancongan



KUALA LUMPUR 28 Sept – Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia), berpendapat bahawa Sarawak berada pada landasan yang betul dari segi pengurusan pandemik dalam negeri dan telah bersedia untuk membuka semula pelancongan domestiknya dalam masa terdekat.

 

RTBA adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang memberi advokasi berhubung keberkesanan undang-undang, kewangan dan polisi percukaian yang memberi kesan kepada jenama dan peruncit

 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia Dato' Fazli Nordin berkata, pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang teruk kepada ekonomi serantau.

 

Katanya, setiap negara terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran pandemik ini.

 

Bagaimanapun ujar beliau, dengan kecekapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan pemahaman penduduk Sarawak, negeri ini berupaya menghadapinya dengan baik berbanding beberapa negara dunia lain.

 

“Pembukaan sempadan Sarawak untuk individu yang telah lengkap dua dos vaksin membuktikan keberkesaan pendekatan yang digunakan Sarawak yang membawa kepada komitmen kepada pengurusan pandemik baik di peringkat negeri.

 

“Sepanjang pandemik, sektor pelancongan Sarawak telah kekal bertahan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan barisan hadapan industri pelancongan mendapatkan dos vaksin yang lengkap dan bersedia untuk menerima pelancong.

 

‘’Semua usaha ini akan membantu negeri ini untuk mencapai imuniti kelompok seterusnya membawa Sarawak menjadi destinasi gelembung hijau perlancongan yang selamat,’’ katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

Fazli Nordin RTBA
Pengarah Urusan RTBA Malaysia Dato' Fazli Nordin

 

 

Sehingga 23 September lepas, sebanyak 64% dari keseluruhan populasi termasuk barisan hadapan industri telah menerima vaksinasi selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menuju sasaran 100% imuniti kelompok.

 

Sarawak juga merupakan negeri pertama yang melaksanakan vaksinasi kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

 

“Ini meletakkan Sarawak jauh ke hadapan berbanding negeri lain. Selain itu, pelaksanaan aplikasi EnterSarawak iaitu permohonan dalam talian untuk memasuki Sarawak; sijil vaksinasi melalui MySejahtera dan keperluan mengisi eHealth Declaration Form (eHDF) sudah pasti akan menyuntik kembali keyakinan pelancong apabila industri pelancongan dibuka semula kelak.

 

“RTBA percaya bahawa Sarawak sudah bersedia untuk menjadi destinasi utama eko-pelancongan di rantau Asia didorong oleh terterlibatan komuniti memulihara warisan, budaya dan biodiversiti. Kita harus memanfaatkan peluang ini, kerana inisiatif yang dilaksanakan hari ini akan membentuk pelancongan esok,” kata Dato 'Fazli. – DagangNews.com