Rugi bersih Pertama Digital melebar kepada RM4.07 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Pertama Digital melebar kepada RM4.07 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kerugian bersih Pertama Digital Berhad melebar kepada RM4.07 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 20223 (3QFY23) berbanding RM2.7 juta pada tahun sebelum ini.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka bagaimanapun mencatatkan peningkatan hasil kepada RM1.5 juta bagi suku berkenaan berbanding RM1.34 juta pada 3QFY22.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), Pertama Digital mencatatkan kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM11.23 juta disebabkan hasil yang lebih rendah. 

 

Bagi temph itu juga, segmen pegangan pelaburan, mudah alih dan rumusan digital kumpulan mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM4.6 juta, penurunan sebanyak 39.91% berbanding tahun sebelumnya ketika Malaysia memasuki fasa endemik COVID-19 yang menyaksikan Kementerian Kesihatan menghentikan penggunaan perkhidmatan mySMS pada 2022.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, mereka komited untuk kekal relevan dengan matlamat negara dengan mencadangkan penyelesaian yang inovatif, terurus risiko, disokong oleh keupayaan eksekutif yang mantap.

 

Katanya, menyedari cabaran yang dihadapi mereka yang mempunyai kemahiran digital terhad dalam menyesuaikan diri dengan ekonomi digital baharu, matlamat utama kumpulan adalah untuk mengenal pasti dan membantu demografi ini.

 

Kumpulan itu menerusi Dapat Vista (M) Sdn. Bhd. (DVSB) berjaya melancarkan ‘projek penukaran syiling’ yang dikenali sebagai Kocek ke beberapa lokasi di Lembah Klang dan terus mengembangkan jangkauannya.

 

"Inisiatif ini melibatkan penempatan kiosk di kawasan komersial terpilih, membolehkan orang ramai, termasuk peruncit dan pengguna, menukar syilling (syiling) Malaysia mereka untuk kredit ke dalam akaun bank melalui aplikasi mudah alih MyPay.

 

"Selain itu, individu boleh menukar syiling dari kiosk ini. Syarikat memperoleh yuran transaksi daripada jumlah nilai syiling yang ditukar melalui kiosk ini," katanya.

 

Selain itu, kumpulan itu pada masa ini mengendalikan beberapa perkhidmatan lain termasuk gerbang SMS kerajaan iaitu mySMS 15888, MyPay dan eJamin (penyelesaian pembayaran ikat jamin digital yang digunakan di mahkamah jenayah Malaysia). - DagangNews.com