Sabah lanjut tempoh pajakan tanah kepada 999 tahun manfaat 5,978 hak milik | DagangNews Skip to main content

Sabah lanjut tempoh pajakan tanah kepada 999 tahun manfaat 5,978 hak milik

Sabah

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Keputusan kerajaan negeri Sabah mengembalikan tempoh pajakan tanah kepada tempoh asalnya iaitu 999 tahun dilihat bakal memberi manfaat kepada 5,978 hak milik tanah berkenaan.

Keputusan tersebut diubah daripada jumlah tempoh pajakan sebelum ini iaitu hanya 99 tahun.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Bernard Liew berkata, berdasarkan rekod jabatannya, seramai 5,978 pemegang hak milik tanah pajakan tersebut terjejas.

"Pada Jun 2020, Kabinet Sabah telah membuat keputusan untuk memperbaiki kesalahan daripada hanya 99 tahun kepada 999 tahun di samping mengambil kira keputusan mahkamah.

"Kami sedang memperbaikinya dan akan mengembalikan tempoh pajakan kepada tempoh asalnya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bernard Liew
Bernard Liew

 

Amalan untuk mengurangkan tempoh pajakan selama 900 tahun telah bermula sejak 1990-an.

Namun, amalan tersebut diputuskan sebagai menyalahi undang-undang oleh Mahkamah Tinggi pada Mac 2020.

Terdahulu, keputusan mengembalikan tempoh pajakan kepada 999 tahun itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Jelas Shafie, keputusan itu adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Mac lalu bahawa pengurangan tempoh pajakan daripada 999 tahun kepada 99 tahun adalah salah di sisi undang-undang.

Mengulas lanjut, Liew memberitahu, keputusan Kabinet adalah terpakai hanya untuk hak milik tanah dengan tempoh asal pajakan 999 tahun dan dikurangkan kepada 99 tahun selepas berlaku penukaran atau pecahan. - DagangNews.com