Safee Sali, Prime Sports NFT lancar koleksi eksklusif SEPULUH NFT | DagangNews Skip to main content

Safee Sali, Prime Sports NFT lancar koleksi eksklusif SEPULUH NFT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - Bekas bintang bola sepak negara, Safee Sali bekerjasama dengan Prime Sports NFT bagi melancarkan SEPULUH NFT (Non-fungible token) iaitu 10 koleksi digital yang akan dilelong di pasaran NFT Digital, Open Sea bermula 22 Jun 2022.

 

Peminat berpeluang membida untuk menjadi pemilik eksklusif SEPULUH NFT terhad dan berpeluang untuk berkongsi padang dengan Safee sendiri selain mendapat cetakan berbingkai NFT dan akses kepada komuniti peribadi untuk ahlinya.

 

Inspirasi 'SEPULUH' adalah bersempena pencapaian gemilang Safee ketika merangkul anugerah Kasut Emas pada kejohanan Piala AFF 2010

 

Ilustrasi NFT tersebut menggunakan gambaran ikonik yang masih kekal sebagai salah satu pencapaian terbesarnya di pentas antarabangsa untuk Malaysia. 

 

Safee berkata, visi untuk SEPULUH adalah untuk mengenang kenangan terindahnya ketika menyarung jersi Harimau Malaya melalui seni digital dan membolehkan peminat memiliki ceritanya sebagai koleksi.

 

"Peminat saya telah memberi sokongan sepanjang karier saya dan SEPULUH NFT membuka pintu untuk mengeratkan hubungan saya bersama mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

safee
Sebahagian daripada koleksi SEPULUH NFT yang akan dilelong di pasaran digital Open Sea.

 

Projek SEPULUH NFT ini juga dalam perkongsian bersama Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) dan sebahagian daripada hasil jualan NFT tersebut akan disalurkan kepada dana pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia.

 

Pengasas Prime Sports NFT, Yong-Chul Yun berkata, pihaknya teruja untuk menyediakan inovasi SEPULUH NFT kerana ia membolehkan pihaknya untuk bekerja dengan lebih ramai atlet, artis dan organisasi di Malaysia.

 

Bermula 12 tengah hari pada 22 Jun 2022, SEPULUH NFT Safee Sali akan dilelong secara rasmi di Open Sea dan peminat berpeluang untuk membida 11:59 malam 11 Julai 2022.

 

Ditempa pada blockchain Ethereum, NFT akan membuka pelbagai faedah untuk pemiliknya termasuk pengalaman yang eksklusif dan saluran komuniti persendirian bersama bekas bintang itu. - DagangNews.com