Saham Bursa Malaysia antara paling rugi, KLCI turut menjunam lebih 30 mata | DagangNews Skip to main content

Saham Bursa Malaysia antara paling rugi, KLCI turut menjunam lebih 30 mata

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Nov - Saham Bursa Malaysia Bhd. susut sehingga 9.3% atau 70 sen dalam dagangan pagi ini kepada RM6.81 berikutan cadangan kerajaan dalam Bajet 2022 untuk melaksanakan Cukai Makmur dan meningkatkan kadar duti bagi dagangan saham. 

 

Bagaimanapun, apabila pasaran kembali dalam dagangan petang selepas rehat tengah hari, harga saham Bursa Malaysia kembali meningkat pada RM7.06 setakat pukul 2.17 tetapi masih menyaksikan penurunan 45 sen atau 5.99%. Ia merupakan antara kaunter utama yang mencatat kerugian.

 

Ini menyaksikan CGS-CIMB menyemak turun penarafan saham Bursa Malaysia kepada 'kurang' berbanding 'pegang' pada harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM6.59 berbanding RM7.48 sesaham sebelum itu.

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, 2 cadangan tersebut seperti dibentangkan di bawah Bajet 2022, Jumaat lalu telah memberi impak negatif kepada Bursa Malaysia

 

Susulan itu, beliau mengurangkan unjuran untung bersih Bursa Malaysia bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 8.1% setelah mengambil kira kadar cukai yang tinggi di bawah Cukai Makmur. 

 

"Cadangan pelaksanaan Cukai Makmur sebanyak 33% terhadap syarikat yang merekodkan keuntungan melebihi RM100 juta akan meningkatkan perbelanjaan cukai bagi Bursa Malaysia pada FY22. 

 

"Dengan menaikkan kadar duti setem bagi nota kontrak dalam dagangan saham daripada 0.1% kepada 0.15% serta had bagi duti setem RM200 bagi setiap nota kontrak dimansuhkan akan mengurangkan ADTV ekuiti kerana ia akan meningkat kos urus niaga bagi pelabur," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Penganalisis 'negatif' terhadap pelaksanaan Cukai Makmur, kerosakan pasaran dijangka lebih teruk

 

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi di bawah Bajet 2022.

 

Kerajaan mengambil langkah ini memandangkan krisis pandemik COVID-19 telah meningkatkan keperluan untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas. 

 

Dalam pada itu, penganalisis AmInvestment Bank, Kelvin Ong turut menyemak semula saham Bursa Malaysia kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini dengan nilai saksama pada RM7.90 berbanding (RM9.40). 

 

Menurutnya, kenaikan kos urus niaga akan menjejaskan aktiviti dagangan pelabur runcit dan menjangkakan dagangan mereka akan berkurangan pada 2022.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan pelabur runcit yang kebiasaannya melabur dalam pelabur jangka pendek akan menjadi sensitif kepada sebarang perubahan terhadap kos urus niaga.

 

"Sementara itu, perubahan dalam kos urus niaga dijangka tidak memberi kesan ketara kepada aktiviti perdagangan pelabur institusi yang merupakan pelabur jangka panjang dengan aktiviti perdagangan didorong oleh asas," jelasnya. 

 

Sementara itu, indeks utama FBM KLCI pula menjunam 32.96 mata atau 2.11% kepada 1,529 mata dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 963 berbanding 156. - DagangNews.com