Saham Serba Dinamik kembali meningkat pagi ini | DagangNews Skip to main content

Saham Serba Dinamik kembali meningkat pagi ini

 

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd. muncul kaunter paling aktif pagi ini. 

 

Setakat 10.08 pagi ini, sahamnya meningkat 4.19% kepada 87 sen. 

 

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini kembali memulakan dagangannya pada Isnin tetapi prestasi sahamnya menyusut sehingga 48.14% kepada serendah 83.5 sen dalam tempoh 2 hari. 

 

Sementara itu, syarikat yang dikaitkan dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah juga mencatatkan peningkatan dalam dagangan pagi ini. 

 

KPower Bhd. menokok 1.57% kepada RM1.29 sesaham manakala Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) naik 1% kepada RM1.01. 

 

Sejak minggu lalu, Serba Dinamik berdepan konflik dengan audit luarnya, KPMG berhubung audit yang dijalankan ke atas laporan kewangan bagi tahun 2020. 

 

Antara perkara yang dibangkitkan KPMG adalah berkaitan dengan pihak yang terlibat dengan Serba Dinamik, transaksi jualan, pemberi pinjaman, inventori dan kontrak.

 

Baca : Serba Dinamik perjelas isu tukar juruaudit

 

Baca : Serba Dinamik jadi sasaran?

 

Semalam, Serba Dinamik menjelaskan cadangan menggantikan KPMG sebagai audit luar dengan BDO PLT dibuat oleh pemegang saham utamanya, Datuk Abdul Kadier Sahib dan bukan dimulakan menerusi pihak syarikat mahupun Lembaga Pengarah.

 

Mohd Abdul Karim merupakan pemegang saham terbesar Serba Dinamik dengan memiliki 26.93% ekuiti. 

 

Selain itu, Abdul Kadier yang juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif, memiliki 15.96%, menjadi pemegang saham kedua terbesar. - DagangNews.com