Sapura Energy dijangka catat rugi RM717 juta bagi FY23 di sebalik pemulihan kecil pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy dijangka catat rugi RM717 juta bagi FY23 di sebalik pemulihan kecil pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Sept - Meskipun kerugian bersih Sapura Energy Bhd. semakin mengecil pada suku kedua, namun, Public Investment Bank Research mengekalkan unjuran kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23) sebanyak RM717.4 juta.

 

Menurut firma itu, di sebalik pendapatan yang meningkat 57% tahun ke tahun, secara dasarnya prestasi keseluruhan dibantu oleh pembalikan pada tuntutan dan ganti rugi pembubaran walaupun nilai tidak disahkan ketika ini.

 

Malah, ia juga mendapati pendedahan syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu kepada kontrak legasi hanya berkurangan kepada 25% pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23). 

 

Katanya, pelaksanaan projek akan kekal mencabar memandangkan persekitaran operasi yang sukar terutamanya dalam menguruskan kos untuk projek warisan bagi segmen kejuteraan dan pembinaan (E&C).

 

"Memandangkan kos harga semasa (dan tinggi), beberapa projek juga telah ditangguhkan ke tahun depan dan ini akan menyebabkan margin keuntungan Sapura Energy kekal tidak menentu walaupun pendapatan disokong oleh nilai kontrak terkumpul yang agak sihat kira-kira RM7.7 bilion, manakala nilai bidaan sekitar RM24.4 bilion.

 

"Segmen penggerudian pula dijangka akan memulakan operasi pada separuh kedua FY23 menerusi kontraknya dengan PTT Exploration and Production yang berpangkalan di Thailand," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Sapura Energy mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM2.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022 daripada RM1.52 bilion setahun lalu.

 

Kerugian itu terutamanya disebabkan oleh susut nilai dan hapus kira yang diiktiraf oleh kerjasama penerokaan dan pengeluaran strategik, SapuraOMV Upstream.

 

Sementara itu, pendapatan meningkat 57%s kepada RM1.17 bilion daripada RM747.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh kewangan enam bulan, Sapura Energy mencatatkan keuntungan bersih RM89.34 juta berbanding kerugian bersih RM1.61 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan susut 7.2% kepada RM2.06 bilion daripada RM2.22 bilion.

 

Menurut Public Investment, laporan kewangan pada suku berkenaan adalah dianggap sejajar dengan jangkaannya, meskipun tiada anggaran konsensus kerugian bersih RM571 juta.

 

"Kami melihat pelaksanaan projek kekal mencabar memandangkan persekitaran operasi yang sukar.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23 hingga FY25 dengan margin keuntungan dijangka kekal tidak menentu," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Sapura Energy dengan harga sasaran 5 sen.

 

Setakat 11.32 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 4 sen dengan 4.96 juta saham diniagakan. - DagangNews.com