Sapura Energy raih projek paling banyak berbanding syarikat minyak dan gas lain - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy raih projek paling banyak berbanding syarikat minyak dan gas lain - AmInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kontrak baharu yang diraih oleh pemain industri minyak dan gas di Malaysia melonjak 2.6 kali ganda kepada RM5.6 bilion pada separuh pertama 2021 (1H21) berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan pelbagai projek yang ‘dikaut’ Sapura Energy Berhad, menurut penganalisis di AmInvestment Bank, Alex Goh.

 

Bagaimanapun, katanya, penularan pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan mendatangkan impak negatif ke atas aliran projek pemain industri pada tempoh suku kedua 2021 (2Q21). 

 

“Pemulihan yang ketara itu dipacu oleh penyusutan perbelanjaan kepada hanya RM569 juta pada 1Q20 ekoran peperangan harga Arab Saudi-Rusia dan bermulanya penularan COVID-19.

 

“Namun begitu, kami mendapati pemberian kontrak masih lagi terjejas akibat pandemik global, sekatan pergerakan dan peralihan dasar tenaga yang menyebabkan perolehan kontrak pada 2Q21 menyusut 33% kepada RM2.2 bilion berbanding suku tahun sebelumnya,” jelas beliau dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Prestasi perolehan kontrak oleh pemain industri minyak dan gas itu bagaimanapun tidak termasuk kemenangan projek RM7.7 bilion oleh Serba Dinamik Holdings Berhad pada tempoh 2Q20, di mana melibatkan pembinaan hab inovasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Ini susulan prestasi kewangan 2Q21 Serba Dinamik masih belum diumumkan.

 

Pada tempoh tersebut, Goh mendapati prestasi kewangan yang dicatatkan oleh lapan syarikat minyak dan gas di bawah liputan firmanya bercampur-campur, di mana tiga syarikat menyaksikan prestasi melebihi jangkaan, sementara dua di bawah jangkaan dan tiga lagi syarikat berprestasi dalam lingkungan jangkaan. 

 

Keuntungan bersih utama sektor berkenaan pula melonjak 30% kepada RM3.3 bilion berbanding 1Q21, terutamanya dipacu oleh harga produk lebih tinggi bagi Petronas Chemicals Group Berhad, keuntungan besar MISC Berhad dan kerugian lebih rendah dicatatkan Sapura Energy. 

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor berkenaan dengan saranan ‘beli’ ke atas lapan syarikat tidak berubah dan hanya satu saranan ‘jual’ ke atas saham Serba Dinamik.

 

Dari segi unjuran harga minyak mentah Brent, Goh berkata, AmInvest mengekalkan ramalan antara AS$65 hingga AS$70 setong bagi tahun 2021 hingga 2022. - DagangNews.com