Sarawak Energy peroleh RM100 juta pinjaman ‘sustainability-linked’ CIMB | DagangNews Skip to main content

Sarawak Energy peroleh RM100 juta pinjaman ‘sustainability-linked’ CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menjadi syarikat utiliti pertama di Malaysia yang memperoleh pinjaman ‘sustainability-linked’ (SLL) oleh CIMB Bank Berhad berbentuk kredit pusingan.

Pinjaman SLL dihubungkan dengan sasaran prestasi kelestarian sesebuah syarikat. 

Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, menerusi pendekatan kelestarian yang lebih strategik, syarikatnya dapat menawarkan nilai kepada semua pihak berkepentingan dengan menguruskan risiko dan peluang bagi jangka masa panjang. 

“Sarawak Energy memainkan peranan penting sebagai pemaju tenaga dan utiliti utama di negeri berkenaan, selain sebagai pelaksana penting untuk visi dan inisiatif strategik negeri dalam menyediakan tenaga yang berpatutan, dipercayai, boleh diperbaharui dan bersih kepada komuniti.

“Pinjaman SLL membuktikan usaha kami dalam kelestarian, bukan sahaja baik untuk persekitaran, malah buat perniagaan juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

SLL itu bertujuan menambah baik prestasi persekitaran dan sosial Sarawak Energy bermula tahun kewangan 2020 hingga 2023.

Pinjaman itu juga bertindak sebagai peringatan kepada Sarawak Energy untuk mengekalkan keamatan (intensity) pelepasan gridnya sejajar dengan Perjanjian Paris dan ‘Business Ambition for 1.5 ° Celsius’.

Ini memastikan Sarawak Energy berada di landasan yang betul dalam matlamatnya untuk mewujudkan kemudahan elektrik sepenuhnya di Sarawak pada tahun 2025.

 

Abdul Rahman Ahmad
Abdul Rahman Ahmad

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, tawaran SLL oleh pihaknya telah menerima sambutan menggalakkan sejak diperkenalkan pada awal tahun ini.

“Kami gembira dapat menyokong Sarawak Energy dalam perjalanan kelestarian mereka. 

“SLL ini merupakan bukti komitmen kami dengan memasukkan pertimbangan persekitaran dan sosial ke dalam terma pembiayaan untuk memberi insentif dan mendorong tingkah laku korporat yang mampan,” katanya. - DagangNews.com