SBH Marine meterai perjanjian taja jamin dengan KAF IB bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

SBH Marine meterai perjanjian taja jamin dengan KAF IB bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

(Dari kiri) Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif SBH Marine, Mohd Salim Dulatti; Pengarah Urusan Kumpulan SBH Marine, Tan Boo Na; Ketua Pegawai Eksekutif KAF IB, Rohaizad Ismail; dan Pengarah Kewangan Korporat KAF IB, Hon Kim Teng di majlis menandatangani perjanjian taja jamin.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pengeluar makanan laut sejuk beku, SBH Marine Holdings Berhad telah memeterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Berhad (KAF IB) untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO tersebut terdiri daripada terbitan awam 180 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 50 juta saham biasa sedia ada.

 

45 juta saham daripada 180 juta saham baharu itu bakal diperuntukkan untuk orang awam Malaysia melalui pengundian, manakala 36 juta saham bagi pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu.

 

Sementara itu, 61 juta saham disediakan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 38 juta saham pula akan diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

50 juta saham sedia ada di bawah tawaran jualan itu pula akan disediakan kepada pelabur Bumiputera yang memperoleh kelulusan daripada MITI.

 

Menurut perjanjian taja ini, KAF IB akan menaja jamin sejumlah 81 juta saham terbitan untuk orang awam Malaysia serta pengarah, pekerja dan individu berkelayan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Ditubuhkan pada tahun 2000, SBH Marine yang berpangkalan di Kuala Kurau, Perak terlibat dalam pelbagai peringkat rantaian bekalan makanan laut sejuk beku bersepadu menegak dengan kilang pemprosesan dilengkapi 4,800 tan kapasiti tahunan dan dieksport ke luar negara di rantau Eropah, Timur Tengah dan Asia.

 

 

[Foto laman web SBH Marine]
[Foto laman web SBH Marine]

 

 

Ia memproses makanan laut sejuk beku, terutamanya udang dan pelbagai jenis sotong di Kuala Kurau, di samping mengendali dua kolam ternakan udang akuakultur di Kuala Kurau dan Selinsing.

 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil IPO untuk pembangunan kolam ternakan Selinsing, pembinaan kilang pemprosesan makanan laut baharu, pembelian mesin atau peralatan dan kenderaan bermotor, memenuhi keperluan modal kerja dan menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SBH, Tan Boo Nam berkata penglibatan meluas syarikat itu merentasi rantaian bekalan memastikan pengeluaran mampan produk makanan laut berkualiti tinggi, memenuhi jangkaan pangkalan pelanggan yang kebanyakannya antarabangsa.

 

“Perjanjian taja jamin ini membolehkan kami meningkatkan keupayaan pemprosesan makanan laut, mengembangkan operasi penternakan udang akuakultur dan mengukuhkan komitmen untuk menyampaikan produk makanan laut sejuk beku berkualiti tinggi kepada pelanggan kami di seluruh dunia,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

KAF IB merupakan penasihat utama, penaja dan ejen penempatan tunggal untuk penyenaraian SBH Marine, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd ialah penasihat kewangan korporat untuk IPO kumpulan.  - DagangNews.com