SC Estate Builder meterai perjanjian kerjasama bagi membina 510 rumah mampu milik di Kedah | DagangNews Skip to main content

SC Estate Builder meterai perjanjian kerjasama bagi membina 510 rumah mampu milik di Kedah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - SC Estate Builder Berhad menerusi dua anak syarikatnya memeterai perjanjian kerjasama dengan RMM Maju Malaysia Sdn. Bhd., Visi Sempena Sdn. Bhd. dan Anjung Meriah Sdn. Bhd. bagi membangunkan projek pembinaan 510 buah rumah mampu milik di Alor Setar, Kedah.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, SC Estate Builder berkata, SC Estate Construction Sdn. Bhd. (SCEC) dan SC Estate IBS Sdn. Bhd. (SC Estate IBS) menandatangani perjanjian untuk bekerjasama sebagai rakan usaha sama dengan tiga syarikat berkenaan pada 24 Julai 2024.

 

Katanya, tanah berkenaan berkeluasan kira-kira 7,345.56 meter persegi yang akan dibangunkan secara berfasa.

 

"SC Estate IBS akan bertanggungjawab untuk membekalkan 40% daripada kos pembangunan kasar (GDC) bahan binaan dan sistem binaan perindustrian atau IBS kepada pembangunan (projek) berjumlah RM84 juta.

 

"SC Estate Construction sebagai pemilik tanah akan menerima balasan tanah sebanyak RM20.76 juta dalam perjanjian kerjasama ini," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SC Build lantik Ketua Istiadat Istana Kedah sebagai Pengarah

 

Kata SC Estate Buider, perjanjian kerjasama ini dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024.

 

"Walau bagaimanapun, kerjasama tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan Kumpulan," jelasnya.

 

Menurut SC Estate Builder, tujuan utama pembangunan ini selari dengan strategi Kumpulan dan inisiatif ESG untuk membina Stesen Tenaga Solar berkapasiti 2,000 hingga 3,000 Megawatt bagi menyelesaikan perubahan iklim di Malaysia dan negara-negara ASEAN di Asia. 

 

"SCBUILD bertujuan untuk membina 2,000 hingga 3,000 unit Rumah Mampu Milik dengan Tenaga Solar di atas Bumbung, laluan pejalan kaki Sosial Jarak 2 meter, dan lorong basikal dengan sambungan internet untuk penyelesaian berkesan terhadap perubahan iklim dan pandemik.

 

"Bagi mencapai sasaran utama ini sebagaimana tercatat dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 untuk Perumahan Mampu Milik Rakyat, Kumpulan komited untuk membina 510 unit Rumah Mampu Milik dengan tenaga solar di atas bumbung, pengecas kenderaan elektrik (EV), laluan pejalan kaki sosial jarak 2 meter, dan lorong basikal dengan sambungan internet untuk penyelesaian berkesan," ujarnya. - DagangNews.com