KUALA LUMPUR 17 Nov - Mahkamah Tinggi mendapati Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya membuktikan tuntutannya dalam saman sivil terhadap Dato' Ng Back Heang, bekas pengarah eksekutif Patimas Computers Berhad (Patimas) kerana perdagangan orang dalam atau insider trading.
Dalam satu kenyataan, pengawal selia pasaran berkata Datuk Ng Back Heang diarah membayar SC sejumlah RM1.24 juta, iaitu tiga kali ganda kerugian yang dielakkannya akibat perdagangan orang dalam.
Selain itu, Ng juga diperintahkan membayar penalti sivil RM700,000 dan kos RM100,000 kepada SC dan dilarang dilantik sebagai pengarah syarikat senaraian awam selama lima tahun bermula hari ini.
Kes itu didengar Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Amin Wan Yahya, yang mendapati Ng telah melanggar Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Menurut SC, pelanggaran itu berlaku apabila Ng melupuskan 16.5 juta saham Patimas yang dimilikinya antara Mei hingga Julai 2012, semasa memiliki maklumat penting bukan awam.
SC berkata maklumat itu adalah berhubung pertanyaan audit dan isu mengenai transaksi yang mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya.
"Isu Perdagangan orang dalam terus menjadi keutamaan tinggi bagi SC.
"Penghakiman itu menghantar mesej yang kuat dan jelas kepada orang ramai bahawa perdagangan orang dalam di mana maklumat dalaman disalahgunakan untuk kepentingan peribadi tidak akan diterima oleh SC," kata pengawal selia itu.
Ini adalah kes kedua yang berjaya oleh SC terhadap bekas pengarah Patimas atas dakwaan melakukan perdagangan orang dalam berikutan tuntutan sivil terhadap bekas timbalan pengerusi Datuk Raymond Yap Wee Hin pada April.
Dalam kes itu, Yap diperintahkan membayar RM3.28 juta kepada SC serta penalti sivil RM1 juta. - DagangNews.com