SCIB bekerjasama dengan CIDB promosi pencetak pembinaan 3D | DagangNews Skip to main content

SCIB bekerjasama dengan CIDB promosi pencetak pembinaan 3D

 

KUCHING 30 Okt – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) hari ini menerima lawatan kerja CIDB ke kilangnya bagi meninjau penggunaan pencetak pembinaan 3D, yang diguna di dalam projek-projek pembinaan SCIB.

 

Mewakili CIDB, ialah Timbalan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Elias Ismail dan pegawai-pegawai CIDB serta Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak (ABM).

 

Pencetak pembinaan 3D tersebut tiba di Malaysia pada September 2021 dan SCIB bekerjasama dengan CIDB untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan di dalam bidang menyediakan piawaian dan peraturan untuk percetakan bangunan atau struktur 3D di negara ini.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rosland Othman berkata, rancangan SCIB ialah mengguna pakai pencetak pembinaan 3D tersebut untuk membolehkan syarikat mengurangkan tempoh pembinaan bagi projek-projek yang dijalankan, maka itu membolehkan syarikat menyiapkan projek dalam tempoh lebih singkat.

 

''SCIB berkolaborasi secara aktif dengan CIDB bagi mempromosikan teknologi itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa berkaitan yang lain, kerana kami percaya ia akan menambah baik kecekapan dan produktiviti industri pembinaan Malaysia,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pada awal tahun ini, SCIB telah membeli pencetak pembinaan 3D bersama dengan perisian reka bentuk daripada COBOD International (COBOD), sebuah syarikat pembuatan berpusat di Denmark, yang bertanggungjawab membina satu daripada bangunan daripada percetakan 3D di Eropah.

 

“Pada masa ini, pasukan kejuruteraan kami sedang memasang dan memula tugas pencetak pembinaan 3D dengan bantuan COBOD secara komunikasi visual.

 

 

SCIB
Dari kiri COO SCIB, Chai Tze Khang (kiri) dan pegawai SCIB, Ivonso Kwee menyampaikan cenderahati kepada Datuk Ir. Elias Ismail (tengah) yang melakukan lawatan kerja ke kilang SCIB di Kuching pada 30 Oktober 2021.

 

 

``Selepas berjaya memula tugas pencetak pembinaan 3D ini nanti, kami akan dapat mempamerkan teknologi terkini dengan membina rumah contoh bercetak 3D di tapak ibu pejabat CIDB Sarawak, yang dijadualkan pada November ini,'' kata beliau. - DagangNews.com