Scientex gagal menukar Daibochi jadi syarikat persendirian | DagangNews Skip to main content

Scientex gagal menukar Daibochi jadi syarikat persendirian

KUALA LUMPUR 9 Nov - Scientex Bhd menyelesaikan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat ke atas Daibochi Bhd tetapi gagal mengumpul 90% saham yang diperlukan untuk menukarnya menjadi syarikat persendirian, walaupun sudah diberi lanjutan tempoh selama dua minggu.

 

UOB Kay Hian, mewakili Scientex, mengumumkan keputusan tawaran tersebut pada Isnin, bahawa Scientex sekadar memperoleh 235.37 juta saham mewaikili 71.90% kepentingan ekuiti di dalam Daibochi, dan 16.65 juta waran (60.98%) daripada waran terbitan Daibochi.

 

Scientex telah menawarkan untuk membeli RM2.70 sesaham dan 32 sen satu waran untuk baki 38.12% ekuiti atau 124.78 juta saham Daibochi, yang berjumlah RM345.3 juta.

 

Semasa tawaran itu dibuat pada 13 September lalu, Scientex memiliki 61.88% saham dalam Daibochi dan 4.25%  waran.

 

Tawaran tersebut yang pada asalnya ditutup pada 25 Oktober lalu, telah dilanjutkan sehingga 8 November.

 

Ketika pasaran ditutup semalam, saham Scientex menokok 2 sen atau 0.44% untuk ditutup pada paras RM4.60, menjadikan permodalan pasarannya kepada RM7.13 bilion.

 

Saham Daibochi susut 9 sen atau3.33% untuk ditutup pada RM2.61, dengan permodalan pasaran sebanyak RM855.88 juta. - DagangNews.com