Sebanyak 3,746 rumah akan dibina bagi penuhi keperluan M40 di Iskandar Puteri | DagangNews Skip to main content

Sebanyak 3,746 rumah akan dibina bagi penuhi keperluan M40 di Iskandar Puteri

Majlis Pertukaran Perjanjian Dokumen Kerjasama Pembangunan Perumahan M40 di Iskandar Puteri, Johor antara IIB dan tiga pihak lain yang disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Jan - Sebanyak 3,746 buah rumah mampu milik akan dibina di Iskandar Puteri, Johor bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana atau M40 yang merupakan kelompok penting kepada pembangunan dan pertumbuhan kawasan tersebut. 

 

Projek ini melibatkan usaha sama Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi anak syarikat River Retreat Sdn Bhd (RRSB) dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Permodalan Darul Ta'zim (PDT) dan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld).

 

Menurut IIB, bagi tujuan ini, PDT telah bergabung tenaga dengan Eco Botanic 3 Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EcoWorld, untuk menawarkan rumah mampu milik gaya hidup berkualiti bagi Kumpulan
M40.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, usaha sama pelbagai pihak ini dapat memainkan peranan penting dalam menawarkan penyelesaian perumahan mampu milik kumpulan M40. 

 

Katanya, projek ini juga sudah pasti akan menyumbang kepada matlamat mencapai sejumlah 600,000 penduduk yang bermastautin serta bekerja di Iskandar Puteri menjelang tahun 2030. 

 

"Kami yakin bahawa projek ini bukan sahaja bakal menyumbang kepada pertumbuhan penduduk tetapi juga dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan di Iskandar Puteri, sekali gus meningkatkan
kedudukan sosioekonomi Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kata kenyataan itu, sebagai pemaju induk Iskandar Puteri, IIB bertekad memupuk aspek keterangkuman dan kelestarian dalam projek pembangunannya. 

 

Jelasnya, menjadi matlamat IIB adalah untuk menangani keperluan perumahan kumpulan M40 agar dapat menyumbang kepada pembangunan dan kebajikan komuniti, secara keseluruhan.

 

"Peranan kumpulan M40 amat penting dalam pembangunan dan pertumbuhan Iskandar Puteri dan ‘talent pool’ di Malaysia. 

 

"Populasi kumpulan pertengahan yang sihat dapat memastikan asas pengguna yang stabil, memandangkan kumpulan berpendapatan sederhana ini merupakan segmen populasi terbesar di Malaysia. 

 

"Kumpulan ini sudah pasti juga memainkan peranan penting bagi menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Dengan adanya lebih banyak rumah mampu milik, kualiti hidup bagi kumpulan M40 di Negeri Johor pasti akan dipertingkatkan," kata IIB.

 

Menurut IIB, dengan adanya projek perumahan ini, ia dapat memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana yang ingin berpindah ke Johor yang merupakan wilayah pertumbuhan baharu bagi Malaysia.

 

"Pentingnya kumpulan berpendapatan sederhana serta bakat yang ditawarkan juga turut diiktiraf dalam Memorandum Persefahaman (MOU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) yang ditandatangani baru-baru ini.

 

"Peranan IIB sebagai pemaju strategik dan pemangkin pembangunan Zon Utama Iskandar Puteri lebih terserlah dengan inisiatif bersejarah antara Malaysia dan Singapura ini," kata IIB. - DagangNews.com