Segmen automotif catat penurunan hasil, AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek Inari Amertron | DagangNews Skip to main content

Segmen automotif catat penurunan hasil, AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek Inari Amertron

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - AmInvestment Bank Research kekal berhati-hati terhadap prospek Inari Amertron Berhad terutama selepas segmen automotif mencatatkan penurunan hasil sebanyak 2% kepada hasil kumpulan pada 1QFY24.

 

Firma penyelidkan itu berkata, pengurusan kumpulan itu menjangkakan pemuatan volum yang lebih tinggi, terutamanya daripada perniagaan optocoupler, menjelang 2HFY24.

 

"Pihak pengurusan juga memberi panduan bahawa sesetengah produk sedang menjalani peringkat kelayakan dan ujian manakala sesetengahnya dalam pengeluaran besar-besaran.

 

"Walaupun sentimen automotif kurang memberangsangkan pada masa ini, kami menjangkakan sumbangan yang lebih baik daripada segmen ini pada suku berikutnya didorong oleh permintaan yang berterusan untuk produk pengecasan kenderaan elektrik (EV)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM84.98 juta pada 1QFY24  daripada RM106.25 juta pada 1QFY23 kesan tukaran mata wang asing yang tidak menggalakkan dan kenaikan kadar elektrik.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan hasil lebih tinggi pada RM383.93 juta daripada RM377 juta didorong pertumbuhan hasil yang lebih tinggi dalam segmen perniagaan frekuensi radio (RF).

 

Sementara itu, AmInvestment berkata, kumpulan itu sudah menyelesaikan isu gangguan kuasa yang menyebabkan hasil pengeluaran lebih rendah dengan kadar penggunaan 75% hingga 80% pada 1QFY24.

 

"Pengurusan memberi petunjuk bahawa kadar penggunaan meningkat sehingga 90% pada masa ini dengan hasil pengeluaran yang lebih baik, yang boleh menyumbang kepada hasil 2QFY24 yang lebih baik.

 

"Kami percaya bahawa segmen datakom, automotif dan generik akan menyokong pertumbuhan hasil pada 2HFY24 manakala bahagian RF menjadi normal," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM3.53 sesaham.- DagangNews.com