Segmen pembalakan, papan lapis terus mencabar bagi Ta Ann akibat permintaan lemah | DagangNews Skip to main content

Segmen pembalakan, papan lapis terus mencabar bagi Ta Ann akibat permintaan lemah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - Segmen pembalakan terutama perniagaan papan lapis Ta Ann Holdins Berhad (Ta Ann) dijangka mencabar pada tahun kewangan 2024 (FY24) susulan permintaan keseluruhan yang kekal lemah.

 

Menurut MIDF Research, harga kayu balak meneruskan trajektori menurun pada purata USD201/meter padu (-2.2%qoq, -4.4%yoy) berikutan permintaan yang lebih rendah daripada pasaran perumahan Jepun.

 

Katanya, hal yang sama didapati untuk papan lapis Malaysia pada purata 369.5sen/keping, penurunan 4.4% bagi perbandingan suku ke suku (2.2%YoY).

 

"Keuntungan segmen pembalakan Ta Ann terus mencatatkan jumlah lebih rendah pada RM2.0 juta (-76.0%QoQ, >100%YoY) disebabkan oleh purata harga jualan produk papan lapis yang lemah dengan penurunan sebanyak -21%YoY.

 

"Secara keseluruhan, pendapatan bersih (pembalakan) FY23 merosot kepada RM35.4 juta (-53.3%yoy) dan margin keuntungan juga turun kepada 11.4% (-9.0 mata)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyeldikan itu, permintaan yang lembap produk kayu selain harga minyak sawit mentah (CPO) menyebabkan penguncupan untung bersih teras Ta An bagi FY23 kepada RM159.2 juta (-48.7% YoY).

 

Bagaimanapun, untuk FY24-FY26, MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan kepada Ta Ann didorong perkembangan positif segmen perladangan dengan kekurangan buruh dijamin bukan lagi isu.

 

Di samping itu, kos pengeluaran dijangka lebih rendah disebabkan oleh penurunan harga baja, namun segmen pembalakan terus dijangkakan mencabar, kata nota tersebut.

 

"Kami mengekalkan saranan 'Beli' dengan perubahan harga sasaran (TP) kepada RM4.10 sesaham (berbanding RM4.25 sesaham sebelum ini)," jelasnya.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurun taraf saranan Ta Ann kepada 'Pegang' daripada 'Beli' sebelum ini dengan harga sasaran baharu RM3.67 sesaham berbanding RM3.80 sebelum ini.

 

Firma itu berkata, ini memandangkan faktor peningkatan yang terhad kepada syarikat perladangan dan pembalakan itu.

 

"Peningkatan pendapatan FY24 mungkin berpunca daripada output yang lebih tinggi kerana kami mengambil kira hanya +5% pertumbuhan buah tandan segar (BTS) YoY berbanding sasaran TAH sebanyak +13% pertumbuhan YoY," katanya.

 

Antara risiko utama kepada Ta Ann ialah ketidaktentuan cuaca yang boleh jejaskan pengeluaran sawit, CPO yang lebih rendah dan polisi kerajaan dan negara pengeksport terhadap produk kayu dan kelapa sawit. - DagangNews.com