KUALA LUMPUR 18 Ogos - Operasi permotoran dan perindustrian Sime Darby Bhd. di China dijangka terus berdepan prospek mencabar ekoran sentimen pengguna yang lebih lemah dan kelembapan aktiviti pembinaan.
CGS-CIMB Research berkata, kelemahan dalam pasaran China yang berpanjangan boleh menjejaskan keuntungan kumpulan memandangkan negara itu menyumbang 30% daripada keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) teras bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).
Bagaimanapun, katanya, operasi kumpulan di Australia akan terus memacu keuntungannya pada FY23 disokong prospek permintaan kukuh bagi segmen perindustrian terutama alat ganti dan servis, yang memperoleh margin lebih tinggi daripada peralatan.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 1 hingga 3% bagi mencerminkan pemulihan permintaan yang lemah dalam pasaran China.
"Kami turut mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Sime Darby dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.40 sesaham," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Persekitaran operasi mencabar di China, Sime Darby catat untung lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion bagi FY22
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Sime Darby merekodkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion bagi FY22 berbanding RM1.4 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama 2021 yang mana ia merangkumi keuntungan sekali sahaja sebanyak RM272 juta daripada pelupusan pegangan dalam Tesco Malaysia.
Ia menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu adalah lebih rendah sebanyak RM42.5 bilion berbanding RM44.3 bilion pada FY21.
Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022, Sime Darby merekodkan untung bersih yang lebih tinggi, meningkat 32% kepada RM278 juta daripada RM211 juta disumbangkan terutamanya daripada segmen perindustrian yang mencatat keuntungan dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Menurut CGS-CIMB, Sime Darby menekankan bahawa penarikan semula harga arang batu baru-baru ini memberi peluang kepada pelombong untuk menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan yang telah tertangguh sejak separuh kedua FY21.
"Sementara itu, nilai kontrak bagi segmen perindustrian kekal kukuh, berlegar pada RM4.4 bilion (meningkat 13% suku ke suku) setakat akhir Jun 2022," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan kumpulan akan mengekalkan hasil dividen yang menarik bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 5 hingga 5.4% berikutan keuntungan sekali sahaja yang diperoleh daripada pelupusan tanah Malaysia Vision Valley (MVV).
"Malah, kumpulan menjangkakan pelupusan tanah seluas 760 ekar itu akan diselesaikan pada FY23 dan meraih keuntungan bersih sebanyak RM250 juta daripada langkah berkenaan," jelasnya.
Setakat 9.11 pagi, harga saham Sime Darby menokok 1 sen atau 0.43% kepada RM2.33 dengan 94,900 saham diniagakan. - DagangNews.com