Sejumlah 136,453 premis F&B beroperasi dengan nilai output kasar RM99 bilion pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sejumlah 136,453 premis F&B beroperasi dengan nilai output kasar RM99 bilion pada 2022 - DOSM

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sebanyak 136,453 premis perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) beroperasi pada 2022 dengan nilai output kasar RM99 bilion berbanding 167,490 pertubuhan pada 2015 yang mencatatkan nilai RM66.4 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menerusi Banci Ekonomi 2023, perkhidmatan makanan dan minuman yang dikeluarkan, DOSM berkata, perkhidmatan makanan mencatatkan bilangan premis tertinggi iaitu 107,129 pertubuhan dan menyumbang sebanyak 78.5%. 

 

Ini diikuti oleh perkhidmatan katering (16,208 pertubuhan; sumbangan: 11.9%) dan perkhidmatan minuman (13,116 pertubuhan; sumbangan: 9.6%), tambah jabatan itu.

 

DOSM memaklumkan nilai ditambah bagi perkhidmatan F&B adalah RM43.8 bilion pada 2022, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 6.6%  berbanding pada 2015.

 

“Perkhidmatan makanan merekodkan sumbangan nilai ditambah tertinggi iaitu 83.4% (RM36.5 bilion) manakala perkhidmatan minuman dan perkhidmatan katering masing-masing menyumbang 9.5% (RM4.2 bilion) dan 7.1% (RM3.1 bilion).

 

dosm

 

“Selangor mencatatkan nilai ditambah tertinggi sebanyak RM18.5 bilion (CAGR: 12.2%), diikuti Kuala Lumpur, RM6.4 bilion (CAGR: 3.5%) dan Johor, RM4.1 bilion (CAGR: 6.7%),” katanya, lapor Bernama.

 

DOSM berkata, bilangan pekerja pada 2022 berjumlah 1.07 juta berbanding 891,616 pekerja pada 2015.

 

“Perkhidmatan makanan merekodkan bilangan pekerja tertinggi iaitu 871,155 orang dengan sumbangan sebanyak 80.7%, diikuti perkhidmatan katering dengan sebanyak 110,593 orang (sumbangan: 10.2%) dan perkhidmatan minuman dengan 98,095 orang (sumbangan: 9.1%),” katanya.

 

Gaji dan upah dalam perkhidmatan F&B berjumlah RM15.5 bilion dengan perkhidmatan makanan menyumbang jumlah gaji dan upah tertinggi sebanyak RM13.0 bilion.

 

“Secara purata, pekerja dalam perkhidmatan F&B menerima gaji dan upah sebanyak RM1,689 sebulan. Purata gaji dan upah bulanan tertinggi diterima oleh pekerja dalam perkhidmatan makanan (RM1,735), diikuti oleh perkhidmatan minuman (RM1,646) an perkhidmatan katering (RM1,352),” katanya.

 

Bagi nilai harta tetap, perkhidmatan makanan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM10.7 bilion, diikuti perkhidmatan minuman sebanyak RM1.3 bilion dan perkhidmatan katering sebanyak RM600 juta bilion, menurut jabatan itu.- DagangNews.com