Sektor E&E Malaysia berpotensi besar penuhi permintaan global   | DagangNews Skip to main content

Sektor E&E Malaysia berpotensi besar penuhi permintaan global  

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Malaysia berpotensi  besar untuk memenuhi permintaan global yang meningkat terutamanya untuk pasaran semikonduktor dunia.

 

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata, sektor E&E menyumbang sebanyak RM386 bilion iaitu 39.4% kepada jumlah eksport negara. 

 

Katanya, untuk tempoh enam bulan pertama 2021, jumlah eksport E&E meningkat sebanyak 28% berbanding tahun lalu. 

 

“Perkembangan dinamik ini memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam fasa pemulihan ekonomi yang menjadi agenda tahun 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, berdasarkan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia, sektor semikonduktor global dijangka berkembang pada kadar 20 peratus (AS$527 bilion) pada tahun 2021 dan bakal bertambah sebanyak 10 peratus pada tahun 2022 (AS$573 bilion). 

 

"Malaysia diiktiraf sebagai pengeluar utama semikonduktor dalam rantaian global E&E. 

 

"Sebanyak 7% daripada perdagangan semikonduktor dunia mengalir melalui Malaysia. 

 

“Justeru, inisiatif pemulihan ekonomi negara dalam sektor E&E perlu dilipatgandakan bagi membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memenuhi pemintaan E&E global,” katanya. 

 

Beliau berkata lagi,  Malaysia perlu merebut peluang daripada permintaan tinggi global untuk produk E&E dan produktiviti  pengeluaran dan pembuatan harus dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan dan memperkukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai pengeluar produk E&E utama. 

 

“Maklum balas daripada industri amat penting untuk mengenal pasti cabaran  yang dihadapi oleh pemain industri yang mengekang operasi perniagaan. Libat urus  dengan industri juga memperincikan jalan penyelesaian untuk menangani cabaran  yang dikenal pasti dan sama ada campur tangan kerajaan adalah perlu untuk melaksanakannya,” katanya.   -DagangNews.Com