Sektor pelancongan Sabah bersedia untuk menerima tetamu | DagangNews Skip to main content

Sektor pelancongan Sabah bersedia untuk menerima tetamu

PEMANDANGAN sebuah resort di Pulau Mabul, Sabah.

 

Oleh DOMINIC G. JOSEPH
editor@dagangnews.com

 

 

KOTA KINABALU 20 Sept - Pengumuman kerajaan Sabah membenarkan semua destinasi dan tapak pelancongan beroperasi bagi pelancong domestik untuk daerah yang sama atau secara gelembung perjalanan disambut baik terutamanya oleh pengusaha dan pemain industri berkenaan.

 

Bagaimanapun, menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun, kebenaran itu tertakluk kepada syarat pelancong, pengusaha pelancongan serta pekerja sudah menerima vaksin lengkap dan berstatus risiko rendah COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera.

 

“Namun, penggunaan kemudahan penginapan seperti gimnasium, sauna, jakuzi dan bilik seminar masih tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media. 

 

Industri pelancongan Sabah pada tahun 2018 merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah dengan jumlah sebanyak RM8.342 bilion. Bagi tahun 2020, Kerajaan negeri menyasarkan empat juta pelancong melawat ke Sabah..

 

Tetapi realitinya, sejak 2019 industri pelancongan di Malaysia menerima tamparan yang hebat susulan impak pandemik COVID-19.  Lebih 4 juta orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pelancongan dan sekitar 640,000 syarikat yang mengusahakan produk serta perkhidmatan pelancongan tidak dapat mengelakkan dari impak negatif situasi tersebut, termasuk Sabah. 

 

Pengarah Urusan D' Seven Travel & Tours, Julais Stephen berkata, walaupun kerajaan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang positif, industri pelancongan Sabah belum dapat menjalankan operasi seperti yang biasa walaupun wabak atau pandemik COVID-19 telah mereda.

 

Menurut beliau, kerajaan Negeri Sabah dan semua pihak yang berkepentingan di sektor pelancongan mestilah berusaha untuk mencipta idea-idea yang berinovatif dan  strategi perniagaan yang lebih dinamik.

 

 

D' Seven Travel & Tours, Julais Stephen
Julais Stephen (berbaju ungu) melayan para pelancong.

 

 

Perunding dari firma S-QI Consultings, Hong Peck Keong berkata, dalam keadaan norma baru ini pelancong-pelancong mengkehendaki maklumat yang kritikal tentang sesuatu tempat supaya mereka dapat merancang lawatan mereka dengan lebih teliti.

 

Beliau berkata, semua yang terlibat di dalam industri pelancongan mesti memahami bahawa cara-cara pemasaran dan pengurusan telah berubah selepas tahun 2020.  

 

Keadaan yang positif ini memberi beliau inspirasi dan ilham untuk membangunkan satu aplikasi 247go.app untuk membantu industri pelancongan bagi membantu dan memudahkan semua yang terlibat di sektor pelancongan untuk menyampaikan mesej perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan dan efektif.

 

"Aplikasi ini boleh digunakan dengan komputer meja, Mobile atau Tablet. Semua yang menggunakan aplikasi ini boleh menikmati keuntungan 100% tanpa dikenakan apa-apa yuran," kata Hong. 

 

Sejak 2016, aplikasi 247go.app yang percuma ini mula dibangunkan oleh Taufik Sulaeman, seorang programmer dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) dari Indonesia.

 

 

apps
Hong Peck Keong (kanan) dan Taufek Sulaeman membentangkan penghasilan aplikasi 247go kepada pelajar di Universiti Tun Hussein Onn.

 

"Dengan menggunakan aplikasi percuma ini semua yang terlibat dengan sektor pelancongan boleh menyampaikan mesej perkhidmatan mereka kepada satu dunia.

 

''Ini adalah satu cara yang paling mudah, murah dan berkesan untuk sektor pelancongan domestik Sabah kembali rancak dalam keadaan norma yang baru ini," kata Hong.

 

Eko-pelancongan adalah penyumbang utama kepada ekonomi di negeri Sabah. Sama ada pantai berpasir putih, hutan hijau yang subur, hidupan liar yang eksotik, pengembaraan yang menyeronokkan, masakan yang sedap, atau budaya yang kaya, Sabah sentiasa mempunyai sesuatu untuk setiap orang.

 

Dalam era endemik tidak lama lagi, semua pelancong harus bersedia secukupnya terutama daripada segi keselamatan dan kesihatan, dan teknologi seperti aplikasi tersebut di atas, adalah alat yang perlu diguna sebaik mungkin. - DagangNews.com