Sektor pembinaan mungkin dipacu projek infrastruktur awam pada separuh pertama 2024 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan mungkin dipacu projek infrastruktur awam pada separuh pertama 2024 – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - RHB Investment mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan yang berkemungkinan dipacu oleh projek infrastruktur awam pada separuh pertama 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata projek-projek yang dianugerahkan pada separuh pertama 2024 mungkin berkait dengan projek tebatan banjir, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan pelaksanaan semula lima stesen LRT3.

 

Bagi Transit Aliran Massa 3 (MRT3) pula, firma itu memandang baik langkah kerajaan yang meneruskan proses pemerolehan tanah untuk projek tersebut.

 

“Menurut MRT Corp, pemberitahuan berhubung pemerolehan tanah yang dikenal pasti dijangka bermula pada suku kedua 2024 dengan fasa memuktamadkan pemerolehan tanah itu bakal berlangsung pada suku ketiga 2024. Oleh itu, kami andaikan bahawa projek MRT3 mungkin dianugerahkan pada suku keempat 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melaporkan jumlah nilai projek yang dianugerahkan kepada kontraktor pada 2023 mencecah RM127.4 bilion, iaitu 22% YoY lebih rendah berbanding RM163.2 bilion yang dicatat pada 2022.

 

Bagaimanapun, firma itu memandang hal ini sebagai halangan sementara kerana pemberian kontrak dijangka akan disokong oleh perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM90 bilion bagi 2024 dengan 21% daripada jumlah tersebut tertumpu kepada subsektor pengangkutan berbanding 18% pada 2023.

 

Di samping itu, firma tersebut berkata, pemangkin akan datang buat sektor ini membabitkan penglibatan lebih ramai kontraktor yang berpangkalan di Malaysia dalam projek pembinaan ibu negara baharu Indonesia.

 

Pemangkin lain adalah pelancaran lebih cepat daripada jangkaan bagi tiga laluan yang dicadangkan untuk LRT Johor Bahru, di mana kerajaan negeri itu dilaporkan telah menghantar cadangan projek ini kepada kerajaan persekutuan pada lewat November 2023.

 

Dari segi alam sekitar, RHB Investment berkata, terdapat beberapa kontraktor (seperti Sunway Construction, HSS Engineers yang menyertai inisiatif berkaitan tenaga boleh baharu seperti Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

“Dalam hal berasingan, syarikat pembinaan besar seperti Gamuda baru-baru ini mengumumkan penyertaannya untuk bekerjasama membangunkan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas berkapasiti 187.5MW (megawatt) dengan Sabah Energy Corporation dan Kerjaya Kagum Hitech JV,” tambahnya.

 

Pilihan utama firma itu bagi sektor ini adalah Gamuda Bhd (harga sasaran [TP]: RM5.66), Sunway Construction Group Bhd (TP: RM2.22) dan Kerjaya Prospek Group Bhd (RM1.71).  - DagangNews.com