Sektor pembungkusan plastik dijangka terus bergelut untuk manfaatkan sepenuhnya penurunan kos resin di pasaran, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Sektor pembungkusan plastik dijangka terus bergelut untuk manfaatkan sepenuhnya penurunan kos resin di pasaran, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Kenanga Research menjangkakan sektor pembungkusan plastik akan terus bergelut untuk memanfaatkan sepenuhnya penurunan kos resin di pasaran kerana permintaan terhadap produk itu adalah perlahan disebabkan ekonomi global yang lemah.

 

Katanya, keadaan itu dapat dilihat apabila penggunaan kapasiti industri pembungkusan plastik berada antara 50% hingga 60% pada masa ini berbanding antara 75% hingga 80% sebelum wabak.

 

Kesan daripada itu, pengeksport sanggup menurunkan harga jualan mereka seiring dengan kos resin yang rendah bagi mempetahankan bahagian pasaran berbanding menaikkan harga jualan.

 

"Harga resin susut sekitar 7% kepada AS$970 bagi setiap tan pada tahun lalu dan ia didorong oleh peningkatan kapasiti penghasilan di peringkat global, permintaan global yang lemah terutamnya dari China dan kurangnya keperluan mendesak untuk pengguna akhir menyimpan stok akibat kejatuhan harga produk.

 

"Kebanyakan syarikat juga sedang bergelut untuk melepaskan sepenuhnya kos input yang lebih tinggi kesan daripada peningkatan perbelanjaan tenaga kerja akibat kenaikan gaji minimum 25% sejak Mei 2022 dan kenaikan tarif elektrik bagi segmen perindustrian dan komersial," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran keseluruhan untuk sektor itu dijangka kekal sederhana dalam tempoh terdekat dengan prospek penambahbaikan pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada potensi kenaikan harga resin termasuk pelarasan semula harga daripada pembekal resin dan ketengangan geopolitik seperti krisis di Laut Merah yang boleh membawa kepada peningkatan kos penghantaran barang.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, syarikat tempatan juga sedang memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tinggi yang akan menghasilkan margin tinggi seperti filem regangan nano, filem mono dan tudung regangan.

 

Katanya, sesetengah produk itu juga sesuai dengan garis panduan pembungkusan mampan.

 

"Inovasi tertumpu pada penilaian rendah (iaitu untuk menjadikan filem lebih nipis) tanpa menjejaskan kekuatan, membolehkan pemain tempatan mendapat daya tarikan di pasaran antarabangsa memandangkan sifat produk yang mesra alam," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu dan Thong Guan Industries Berhad (outperform; TP: RM2.86) merupakan pilihan utama dalam sektor itu. - DagangNews.com