Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Tipulah, kalau kita tidak mempunyai kenangan manis dengan Malaysia Airlines.
Paling tidak pun, kita akan terkenang petikan dialog dalam filem Mr.Os yang memesan pisang goreng dalam pesawat itu dan betapa manisnya senyuman pramugari berbaju kebaya batik melayan permintaan pelawak itu.
Sejak beberapa minggu lalu, isu syarikat penerbangan negara ini kembali mencuri perhatian. Tetapi, sebenarnya apa sahaja berkait dengan Malaysia Airlines, memang akan menjadi topik panas.
Khazanah Nasional Bhd. sendiri telah menyuarakan pendapatnya, menutup Malaysia Airlines dan menjadikan Firefly sebagai syarikat penerbangan nasional sebagai langkah terakhir jika rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat tidak tercapai dengan baik.
Namun, untuk menutup sebuah syarikat penerbangan juga mempunyai kos tertentu yang perlu diambil kira. Soalnya, adakah ia berbaloi atau tidak, bagaimana pula dengan kesejahteraan pekerja.
Untuk rekod, syarikat penerbangan itu masih mempertahankan 12,000 kakitangan merentasi keseluruhan kumpulan walaupun gaji mereka telah dipotong sejak Mac lalu.
Penganalisis Endau Analytics, Shukor Yusof menganggarkan Khazanah memerlukan RM10 bilion paling minimum jika mahu menutup Malaysia Airlines.
Beliau tidak menolak, angka itu sebenarnya jauh lebih besar berbanding anggaran yang dibuatnya berdasarkan nilai hutang syarikat tersebut.
"Pendapat saya, sekurang-kurangnya RM10 billion diperlukan untuk tutup syarikat ini sekiranya ambil kira tiga perkara ini. Tetapi ada kemungkinan jumlah ini jauh lebih tinggi.
"Pertamanya, langkah penstrukturan yang akan dibuat untuk buang lebih ramai pekerja berbanding 6,000 pada 2014.
"Keduanya, nilai yang perlu dibayar untuk menghapuskan hutang-piutang dalam buku serta hutang kepada pemajak pesawat dan ketiganya, jumlah wang yang diperlukan untuk membayar hutang Firefly dan untuk mengukuhkannya (seperti pelan Khazanah)," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Baca : Nufam selar penyusunan semula Khazanah ke atas Malaysia Airlines
Baca : What else can be done to save Malaysia Airlines?
Baca : Sejauh mana bank-bank mampu suntik pinjaman kepada syarikat penerbangan?
Minggu lalu, dalam temu bual dengan Berita Harian, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata, antara pilihan alternatif yang boleh dipertimbangkan ialah, yang mana Khazanah bersedia untuk menamatkan pembiayaan untuk Malaysia Airlines.
Sebaliknya, sayap pelaburan itu memilih untuk membiayai Firefly bagi mengembangkan operasinya dan berpotensi menjadi syarikat penerbangan kebangsaan.
Bagi Khazanah, sekiranya mereka terus membiayai Malaysia Airlines yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sering mengalami kerugian, Khazanah akan terpaksa melupuskan pegangannya dalam aset strategik yang lain atau menambah hutang.
Data Cirium, sebuah syarikat analisis penerbangan menunjukkan Malaysia Airlines memiliki 88 pesawat dengan 25 berada dalam simpanan.
Shukor berkata, apa jua langkah yang diambil, pokoknya ia adalah wang rakyat yang tidak seharusnya disalurkan ke Firefly kerana "pelan B" ini sama sekali tidak munasabah.
"Bahkan, kedua-duanya, Malaysia Airlines dan Firefly mempunyai hutang. Sekiranya nak tubuh syarikat nasional baharu, bubarkan Malaysia Aviation Group (MAG) dan ambil pemegang saham baharu untuk gantikan Khazanah.
"Tidak munasabah ganti Malaysia Airlines yang hutang berbilion dengan Firefly yang hutang berjuta. Apa bezanya? Ini kerja orang-orang yang nampak terdesak," katanya.
Setakat akhir 2018, liabiliti syarikat penerbangan ini berada di bawah RM5.5 bilion. Tetapi pada 6 Oktober lalu, ia mengumumkan pelan penstrukturan semula hutang berjumlah RM16 bilion.
Namun difahamkan, perbincangan mengenai penstrukturan semula Malaysia Airlines dengan pemiutang, pemajak dan pembekal itu dijangka mengambil masa lebih lama berbanding perancangan awalnya dan sedang mencuba sedaya upaya memastikan kejayaan langkah itu.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam laporannya, 7 Oktober lalu berkata, industri penerbangan akan mengalami kerugian tunai berjumlah AS$77 bilion (RM319.42 bilion) pada separuh kedua tahun ini menyamai AS$13 bilion (RM53.93 bilion) setiap bulan atau AS$300,000 (RM1.24 juta) setiap minit, walaupun memulakan kembali operasi.
Sehingga 2021 pula, IATA menganggarkan secara purata sebanyak AS$5 bilion (RM20.74 bilion) hingga AS$6 bilion (RM24.89 bilion) kerugian yang ditanggung industri tersebut setiap bulan.
Setakat ini, kerajaan di seluruh dunia telah menyalurkan bantuan sebanyak AS$160 bilion (RM663.73 bilion) bagi membantu syarikat penerbangan yang terjejas akibat COVID-19.
Disebabkan wabak tersebut yang semakin meningkat saban hari, AirAsia terpaksa mengambil langkah menutup operasi AirAsia Jepun pada 5 Oktober lalu.
Antara syarikat penerbangan antarabangsa yang turut bergelut dengan masalah kewangan dan pandemik ini termasuklah Virgin Australia yang memfailkan penstrukturan bankrap pada 21 April lalu.
Ini menyaksikan syarikat itu yang berusia hampir dua dekad menjadi syarikat penerbangan terbesar dalam sejarah yang pernah runtuh setakat ini. - DagangNews.com