KUALA LUMPUR 29 Ogos - SELGATE Healthcare Sdn Bhd, anak syarikat penjagaan kesihatan SELGATE Corporation Sdn Bhd mengumumkan pengiktirafan sebagai jenama terbaik untuk penjagaan kesihatan sektor swasta pada The BrandLaureate BestBrands 2021-2022.
Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE Healthcare, Dr Muaz Omar berkata, mereka amat berbesar hati kerana dianugerahkan dengan anugerah jenama terbaik The BrandLaureate.
"Di SELGATE, kami percaya bahawa tiada had untuk perkara-perkara yang boleh kami capai bersama. Anugerah ini adalah bukti kepada kerja yang kami lakukan dan nilai yang kami bawa kepada para pelanggan.
"Ia juga merupakan peluang yang baik untuk mengukuhkan hubungan kami dengan pelanggan, yang terus memilih kami sebagai rakan kongsi penjagaan kesihatan mampu milik dan berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ditubuhkan pada 2017, SELGATE Healthcare ialah sebuah konglomerat terpelbagai dalam industri penjagaan kesihatan yang terdiri daripada anak syarikat dalam pengurusan penjagaan kesihatan, termasuk hospital, klinik dan farmasi. SELGATE juga menceburi bidang teknologi melalui pelaburannya dalam SELangkah.
Awal tahun ini, SELGATE Healthcare telah mengumumkan perjanjian usahasama dengan Jovian Pharma bagi penubuhan Jovian Selcare Pharmacy. Penggabungan ini diikuti dengan pensijilan SELGATE Healthcare dan anak syarikatnya dengan Sistem Pengurusan Kualiti Antarabangsa - MS 9001:2015.
Pada Mei 2022, Pusat Penjagaan Kesihatan SELGATE telah dilancarkan di Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam, yang mana ia menempatkan perkhidmatan yang merangkumi klinik GP, klinik pergigian, farmasi Jovian Selcare dan makmal diagnostik.
Selangkah Ventures Sdn Bhd, anak syarikat SELGATE Healthcare turut menyumbang kepada pencapaian syarikat dengan memenangi Anugerah Malaysia Technology Excellence 2022 untuk kategori AI – Teknologi Penjagaan Kesihatan pada April 2022. Ia dianugerahkan untuk evolusi Aplikasi SELangkah, yang bermula sebagai platform pengesanan kenalan.
SELGATE Healthcare terus mengembangkan penawarannya dengan menceburi pelbagai aktiviti penjagaan kesihatan pelengkap seperti Perkhidmatan Pengurusan Peralatan Bioperubatan dan pembangunan pusat dialisis.
SELGATE juga mengambil peluang untuk meningkatkan lagi ekosistem perniagaannya sama ada secara organik atau dengan mewujudkan kerjasama strategik dan cekap.
Dalam usaha untuk menjadi salah sebuah pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia, SELGATE komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan primer berkualiti serta mampu milik kepada komuniti.
SELGATE juga akan terus melonjakkan piawaian untuk melangkaui kecemerlangan dalam pengurusan penjagaan kesihatan di negara ini dan wilayah Selangor terutamanya, dengan menambah baik dan menaik taraf perkhidmatan kesihatan di bandar dan kawasan yang kurang berkemampuan. - DagangNews.com