Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 April - Pusat penyelesaian sehenti pemilikan kenderaan, Seng Cars World Sdn. Bhd. (Seng Cars World) melancarkan pendekatan yang terbaharu pembelian kereta terpakai secara maya iaitu ‘Video Call Buy Car’ (VCBC).
Melalui perkhidmatan terbaharu itu, pelanggan dapat melihat dan membeli kereta terpakai yang diimpikan menggunakan telefon pintar dari rumah dalam keadaan selamat dan selesa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tracy Nyan berkata, pihaknya teruja kerana berada di barisan hadapan dalam inovasi industri kereta terpakai di Malaysia.
“Kami sangat berbesar hati memperkenalkan ‘VCBC’ sebagai pendekatan yang terbaharu dalam pembelian kereta, mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan para pelanggan kami.
"Prosesnya mudah, menjadikan pelanggan kami sangat senang untuk membeli kereta," katanya dalam satu kenyataan.
VCBC memudahkan proses pembelian kereta dengan mengurangkan keperluan sentuhan fizikal.
Melalui pendekatan yang mudah itu, pelanggan terlebih dahulu perlu membuat janji temu dengan penasihat jualan Seng Cars World untuk melihat kereta melalui panggilan persidangan video.
Setelah melihat dan penjualan kereta disahkan, penasihat jualan akan membantu pelanggan untuk memproses tempahan kereta tersebut.
Apabila pinjaman diluluskan dan pembayaran telah dibuat, kereta tersebut akan dihantar ke rumah pelanggan.
Lebih menarik, Seng Cars World menawarkan wang jaminan dikembalikan dalam tempoh 48 jam selain memberi ketenangan kepada semua pelanggan.
Selain itu, pelanggan yang membeli kereta dari Seng Cars World berpeluang untuk menikmati tempoh waranti satu tahun yang ditaja jamin oleh AmGeneral Insurance Berhad.
Pelancaran tersebut turut menyaksikan perasmian pelaksanaan penjenamaan semula syarikat Seng Cars World dengan menggabungkan keempat-empat syarikatnya termasuklah Seng Cars World di bawah Seng Cars Group.
Gabungan yang melibatkan Seng Cars World, Seng Cars Service Centre, Seng Cars Spa & Tint dan Seng Cars Warranty itu adalah untuk merialisasikan cita-cita menjadi 'pakar kereta'. - DagangNews.com