Shopee Live lonjak pesanan peniaga tempatan sebanyak 82 kali ganda semasa jualan 11.11 | DagangNews Skip to main content

Shopee Live lonjak pesanan peniaga tempatan sebanyak 82 kali ganda semasa jualan 11.11

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Peniaga tempatan mencatatkan pesanan luar biasa sebanyak 82 kali semasa Shopee Live ketika jualan istimewa 11.11 sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan perniagaan langsung sebagai ciri penting dalam ekosistem paltform itu.

 

Kejayaan itu didorong oleh gabungan strategik peningkatan trafik pengguna baharu, tawaran langsung eksklusif dan sesi penstriman yang menarik.

 

Shopee Live berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia, dengan peningkatan 14 kali ganda bagi penonton kali pertama.

 

Pengguna tertarik dengan pelbagai promosi menarik termasuk baucar diskaun 90% dan permainan Kotak Duit Misteri.

 

Pada 11 November sendiri, Shopee Live merekodkan lebih 40 juta penglibatan, menyerlahkan keupayaan platform bagi mengekalkan perhatian pengguna.

 

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, jualan 11.11 menyaksikan Shopee mencatatkan jumlah nilai barangan kasar global sebanyak AS$1 bilion dalam masa sehari.

 

"Di Malaysia 11.11 merupakan hari jualan terbesar kami sepanjang masa.

 

"Pemerkasaan strategi jualan Malaysia merupakan elemen penting kerana platform ini membolehkan perniagaan berkembang maju dalam ruang digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Momentum jualan terbukti apabila lebih 1.3 juta produk terjual dalam tempoh dua jam pertama jualan istimewa 11.11.

 

Rakyat Malaysia memanfaatkan baucar penghantaran percuma selain pelbagai tawaran serta diskaun yang menarik, menunjukkan keinginan bagi mendapatkan tawaran terbaik.

 

Elgini Apparel, Kacang Republika Premium, Kedai Abang Syukor, Panda Eyes, dan Skintific muncul sebagai sesi strim langsung yang paling banyak ditonton, sesi itu mempamerkan keupayaan jenama dan penjual dalam menyampaikan kandungan yang menarik kepada pengguna.

 

"Kami berhasrat untuk terus menyediakan sumber terbaik kepada penjual kami untuk berjaya dalam e-dagang. Kami akan terus berinovasi dan menyampaikan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik kepada pengguna," kata Kenneth. - DagangNews.com