SIBS raih projek berbilion ringgit bangunkan 2,147 pangsapuri di Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

SIBS raih projek berbilion ringgit bangunkan 2,147 pangsapuri di Arab Saudi

Rekaan artis terhadap projek NEOM yang terdiri daripada 2,174 unit pangsapuri merentasi 35 bangunan.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - SIBS, antara peneraju teknologi pembinaan modular terkemuka dunia, berjaya memperoleh kontrak bernilai berbilion ringgit untuk membangunkan 2,174 pangsapuri di Neom, iaitu projek perbandaran terbesar yang terletak di barat-laut Arab Saudi.

 

Projek berkenaan akan disiapkan dalam bentuk bangunan pasang siap yang ditauliahkan menjelang suku ketiga 2024. 

 

Pencapaian penting itu menandakan satu kejayaan untuk pertumbuhan dan kemajuan  berterusan syarikat dalam industri.

 

NEOM bakal menjadi pembangunan inovatif di tengah bandar NEOM dengan 2,174 apartmen dibina menerusi 35 bangunan, pembangunan berkenaan menawarkan ruang kehidupan mewah dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan penghuni bandar serba moden.

 

Bangunan terbabit terdiri daripada apartmen satu dan dua bilik tidur yang dilengkapi sepenuhnya dengan perabot siap terbina yang berkualiti, bilik air eksklusif dan balkoni untuk setiap apartmen. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SIBS Group, Erik Thomaeus berkata, kemampanan sentiasa menjadi satu-satunya falsafah reka bentuk dan bersama dengan sistem bangunan yang efisien, pihaknya mampu mencapai tahap kecekapan tenaga yang tinggi. 

 

neom
Erik Thomaeus

 

Katanya, rekaan bangunan yang fleksibel membuatkan penempatan semula bangunan ini ke kawasan lain NEOM menjadi mudah apabila projek mega itu terus berkembang.

 

"Pemilihan SIBS sebagai pembekal kepada NEOM jelas menunjukkan bahawa kami mempunyai kecekapan dan kekuatan yang tidak dapat ditandingi ramai. 

 

"Kami berharap dapat memberi sumbangan kepada pembangunan NEOM sebagai hab antarabangsa antaranya untuk inovasi, perniagaan dan pembangunan mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tahun lalu, syarikat pembinaan modular terbaik ini membuat pelaburan kilang baharunya di Pulau Pinang, Malaysia. 

 

Sejak itu, produktivitinya meningkat empat kali ganda, menjadikan SIBS salah satu pengeluar terbesar modul apartmen di dunia. 

 

neom
Bilik pameran SIBS menampilkan reka bentuk bangunannya.

 

Kilang canggih meliputi kawasan seluas 550,000 kaki persegi di atas tapak seluas 11.33 hektar juga hampir kesemuanya beroperasi menggunakan tenaga solar untuk mengurangkan jejak karbon. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SIBS Malaysia, SP Ong berkata, projek itu membolehkan mereka mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri dalam pembinaan modular. 

 

Katanya, pihaknya mempunyai produk yang unik dan mendapat permintaan tinggi, dan mereka yakin bakan terus melakukan penambahbaikan untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri sebagai peneraju dalam teknologi pembinaan. 

 

"Segalanya direka dan dibina secara khusus, daripada sistem pengeluaran sehingga mesin yang digunakan untuk pengeluaran.

 

"Tidak lupa bahawa kami antara yang terawal dapat menyiapkan 90% daripada bangunan apartmen luar dari tapak dan hanya 10% kerja di tapak.

 

"Kami juga berbangga untuk menjadi syarikat yang mengutamakan penggunaan pembekal tempatan dan bakat profesional tempatan," katanya. - DagangNews.com