Sila berurusan dengan bank mulai Jumaat ini untuk lanjutan moratorium, kata Sahar | DagangNews Skip to main content

Sila berurusan dengan bank mulai Jumaat ini untuk lanjutan moratorium, kata Sahar

Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Mana-mana individu yang masih mengalami masalah kewangan dan ingin melanjutkan tempoh moratorium digesa untuk berurusan dengan pihak bank mulai Jumaat ini.

Tempoh tersebut dibuat bagi mengelak sebarang masalah yang timbul di saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, perkara tersebut adalah penting memandangkan moratorium yang disambung tiga bulan lagi itu tidak bersifat automatik seperti sebelumnya.

"Kita tidak mahu mereka buat permohonan di saat akhir dan kita risau dari segi kemampuan bank-bank untuk mengurus permohonan sekiranya pemohon datang pada penghujung September.

"Ia buka lagi automatik seperti dahulu dan permohonan lanjutan itu harus dilakukan segera oleh peminjam," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKIM) ke-15 dan Pelancaran Siri Webinar Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)-PERKIM 2020 hari ini.

Mohd. Shahar Abdullah
                                    Mohd. Shahar Abdullah

 

Moratorium pertama mula dijalankan selama enam bulan bermula April dan dijangka tamat pada September 2020.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan tempoh pinjaman atau moratorium dilanjutkan lagi selama tiga bulan sehingga Disember 2020 bagi individu yang masih hilang punca pendapatan atau perusahaan yang menghadapi krisis kewangan.

Keputusan itu diambil selepas pihak kerajaan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Baca: Moratorium dilanjut 3 bulan bagi individu, PKS yang masih terjejas

Tambah Shahar, proses permohonan lanjutan tersebut memakan masa dan berkemungkinan pemohon perlu membuat bayaran seperti biasa sekiranya gagal membuat permohonan lebih awal.

"Perkara ini pasti memberi kesan terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, belum mendapat kerja atau mengalami pengurangan pendapatan," jelasnya lagi. - DagangNews.com