Silver Ridge raih subkontrak bernilai RM7 juta bagi projek klinik kesihatan di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Silver Ridge raih subkontrak bernilai RM7 juta bagi projek klinik kesihatan di Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Silver Ridge Holdings Berhad menerusi  Total SR Web 3.0 Sdn. Bhd. meraih subkontrak bernilai RM7 juta menerusi kerjasama dengan Rantau Arau Sdn. Bhd. bagi projek klinik kesihatan, Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja-kerja subkontrak itu termasuk dalam perjalanan biasa perniagaan mereka.

 

"Kerja-kerja subkontrak itu dijangka bermula November 2023 dan siap pada Mac 2024," katanya.

 

Subkontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas modal terbitan dan berbayar, pegangan saham pemegang saham, aset bersih sesaham dan penggearan syarikat dan anak-anak syarikatnya.

 

Lembaga Pengarah kumpulan berpendapat bahawa subkontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan pendapatan masa depan kumpulan Silver Ridge untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

 

"Selain daripada risiko operasi biasa, Lembaga Pengarah Silver Ridge tidak menjangkakan sebarang faktor risiko lain yang mungkin timbul daripada subkontrak itu," katanya. - DagangNews.com