Sime Darby Property raih RM1.1 bilion tempahan jualan kediaman melalui kempen Great Deals | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property raih RM1.1 bilion tempahan jualan kediaman melalui kempen Great Deals

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Sime Darby Property Bhd menamatkan kempen 'Great Deals' dengan tempahan jualan bagi 1,107 buah unit hartanah dengan anggaran nilai sebanyak RM1.1 bilion. 

 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, kempen yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 31 Disember 2023 itu disokong pelbagai tawaran menarik untuk hartanah terpilih di perbandaran syarikat di seluruh negara.

 

Katanya, kejayaan kempen Great Deals membuktikan pemahaman syarikat terhadap keperluan pengguna. 

 

"Kami menepati permintaan yang meningkat untuk hartanah berkualiti pada harga dan lokasi yang tepat. 

 

"Menerusi kempen Great Deals, kami memenuhi impian pemilikan hartanah dengan tawaran hebat di kawasan-kawasan yang tersedia dengan perhubungan, aksesibiliti dan kemudahan yang cemerlang serta pengalaman pembelian yang mudah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Lai berkata, dipacu momentum kempen Great Deals, syarikat melancarkan kempen jualan 'Dragon Deals' yang sedang berlangsung sehingga 29 Februari 2024. 

 

Katanya, ia terdiri daripada Go Landed & High-Rise Collection dengan hartanah terpilih di Bandar Elmina, Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Nilai Impian, Bandar Ainsdale, Taman Melawati dan Putra Heights.

 

 

sime darby

 

 

"Kami percaya kempen ini akan membolehkan pemilikan rumah bagi semua rakyat Malaysia. Kempen Dragon Deals merupakan salah satu usaha Sime Darby Property untuk menangani kesukaran pemilikan hartanah di Malaysia. 

 

"Kami sedar sentimen dan cabaran yang dihadapi para pembeli dan percaya kempen ini akan membantu mereka memiliki hartanah bermula dengan di perbandaran kami," ujar beliau.

 

Syarikat berkata, sempena Tahun Naga, pembeli hartanah berpeluang untuk menikmati 'Fortune Rewards' bernilai sehingga RM100,000 serta hadiah-hadiah lain sepanjang tempoh kempen. 

 

"Bagi menyemarakkan lagi sambutan perayaan yang akan datang, 'Special Weekends' syarikat berlangsung dari 20 Januari hingga 24 Januari 2024 dan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina diadakan antara 17 dan 25 Februari 2024," katanya.

 

Tambahnya, kemeriahan perayaan bermula dengan siri 'Go-Landed Special Weekends' di Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Bandar Ainsdale, Nilai Impian dan Bandar Elmina. - DagangNews.com