​​​​​​​Sindrom Penglihatan Komputer: Apa Yang Anda Perlu Tahu | DagangNews Skip to main content

​​​​​​​Sindrom Penglihatan Komputer: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Oleh Dr Muhammad Syamil Mohamad Salmi dan Noor Munirah Awang Abu Bakar

 

 

DALAM era digitalisasi ini, gajet berskrin seperti telefon pintar, tablet, komputer, televisyen dan permainan video menjadi alat yang paling kerap digunakan oleh segenap lapisan masyarakat saban hari.

 

Sehingga tahun 2020, dianggarkan bahawa pengguna telefon pintar adalah seramai 5.2 bilion orang di serata dunia.

 

Malahan pula, di waktu pandemik COVID-19 ini, tidak dinafikan kita dan anak-anak perlu mengadaptasi corak kerja dalam norma baharu dengan Bekerja Dari Rumah (WFH) dan gaya pembelajaran baru secara dalam talian yang memerlukan penggunaan gajet berskrin.

 

Ini menjadikan bilangan pesakit yang mengadu masalah kesihatan akibat penggunaan gajet ini semakin meningkat.

 

Sindrom Penglihatan Komputer (Computer Vision Syndrome) merupakan antara masalah kesihatan yang terjadi akibat penggunaan gajet berskrin untuk tempoh yang kerap dan berpanjangan.

 

Terdahulu, sindrom ini dikaitkan dengan skrin yang terdapat di komputer meja sahaja, namun ianya tidak lagi terhad kepada komputer tersebut kerana alat-alat teknologi berskrin lain sudah semakin kerap digunakan.

 

Kajian menunjukkan penggunaan alat teknologi ini melebih dua jam sehari akan membawa risiko 90% kepada sindrom tersebut serta menyebabkan pelbagai kesan sampingan terhadap mata dan penglihatan.

 

Antara gejala-gejala Sindrom Penglihatan Komputer yang kebiasaannya terjadi adalah seperti keletihan mata, mata kering dan gatal, ketegangan mata (eyestrain), kekaburan pandangan, kesukaran untuk fokus pada jarak dekat, pandangan menjadi dua dan masalah kekejangan otot di leher, bahu, serta tulang belakang disebabkan postur tubuh yang tidak sesuai ketika melihat skrin.

 

Faktor utama yang menyumbang kepada risiko mendapat penyakit ini adalah kerana imej yang tercipta pada skrin gajet adalah dalam bentuk piksel yang mana tahap kontras huruf-huruf pada skrin tidak tajam seperti bahan bercetak.

 

Ini menjadikan mata kita menghadapi kesukaran untuk terus fokus pada skrin ketika membaca, seterusnya menyebabkan mata seolah-olah dipaksa untuk kekal meneruskan pembacaan. Keadaan ini mewujudkan ketegangan kepada otot-otot mata yang terlibat dalam proses pembacaan jarak dekat, lantas mengakibatkan keletihan mata.


 

screen



 


Kadar kelipan dan cara berkelip juga boleh menyebabkan seseorang mendapat sindrom ini. Kebiasaannya, mata manusia akan berkelip secara spontan sebanyak 15 kali dalam satu minit.

 

Walaubagaimanapun, dengan meningkatnya tahap fokus mata kita terhadap skrin gajet akan menjadikan mata berkelip kurang daripada 5 kali seminit. Kesan dari dua keadaan ini akan menyebabkan air mata berkurang akibat tersejat oleh udara persekitaran, lalu mendedahkan permukaan mata kita kepada kekeringan.

 

Faktor ergonomik penglihatan (visual ergonomic) yang tidak tepat seperti pencahayaan yang terlalu terang, kedudukan skrin komputer yang dekat serta lebih tinggi dari paras mata dan juga postur tubuh badan pengguna yang membongkok sewaktu penggunaan komputer atau gajet berskrin boleh menyebabkan masalah kekejangan otot di leher, bahu, serta tulang belakang.

 

Beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan oleh pengguna dewasa dan kanak-kanak dengan mempraktiskan peraturan 20-20-20, iaitu selepas 20 minit penggunaan gajet, lihat jauh sejarak 20 kaki untuk tempoh 20 saat.

 

Pemakaian kanta pembetulan seperti cermin mata dan kanta sentuh dengan preskripsi yang tepat sewaktu penggunaan gajet juga sangat penting.

 

Pemakaian cermin mata dengan cara yang tidak tepat (poor fitting) seperti kedudukan cermin mata yang terlalu dekat dengan mata, penggunaan kanta kuasa pandangan jauh untuk melihat jarak dekat, penggunaan bingkai yang besar atau senget sebelah perlu dielakkan. Pakar penglihatan juga menyarankan jarak antara mata dan gajet yang ideal ialah melebihi 30 sentimeter.

 

Meletakkan komputer atau gajet dengan sudut penglihatan 10-20 darjah di bawah garis penglihatan mata dan melebihi 30 sentimeter untuk mata menumpu dengan selesa juga penting.

 

Postur tubuh badan yang tegak dan selesa, pencahayaan yang sekata, dan menjauhi pantulan cahaya yang menyebabkan pandangan menjadi silau juga perlu diamalkan.

 

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) telah menetapkan beberapa garis panduan bagi tempoh layar (screen time) untuk penggunaan gajet. Bagi kanak-kanak di bawah 2 tahun, sepatutnya tiada pendedahan langsung kepada gajet berskrin, manakala yang berumur dari 2 hingga 5 tahun, tempoh pendedahan adalah tidak melebihi 1 jam sehari.

 

Kajian juga menunjukkan risiko untuk kanak-kanak mendapat rabun jauh akibat penggunaan gajet berskrin yang terlalu lama adalah sebanyak 25-30%. Oleh itu, penggunaan telefon pintar atau tablet dalam kalangan kanak-kanak perlu dipantau sebaiknya oleh ibu bapa.


 

rabun



 


Sebagai peringatan, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada penggunaan gajet kerana ia adalah satu keperluan pada masa kini.

 

Namun, penggunaan yang berpanjangan dan berterusan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna sekiranya tidak dikawal dan mendapat sindrom penglihatan komputer, lantas mengurangkan produktiviti kerja dan menganggu tumpuan dalam pembelajaran.

 

Dengan mengamalkan beberapa teknik yang disarankan, pengguna gajet dapat mengurangkan risiko mendapat Sindrom Penglihatan Komputer. - DagangNews.com

 

 

 

dr muhd syamil
Dr Muhammad Syamil Mohamad Salmi
Pensyarah Perubatan dan Pakar Oftalmologi,
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan,
UPM / Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia

 

munirah
Noor Munirah Awang Abu Bakar
Pegawai Optometri,
Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia