SKMM harus hentikan tindakan sekat portal berita dan berkelakuan seperti `Big Brother', kata Wartawan Kanan | DagangNews Skip to main content

SKMM harus hentikan tindakan sekat portal berita dan berkelakuan seperti `Big Brother', kata Wartawan Kanan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus menghentikan tindakan mereka seperti `Big Brother' atau `Abang Besar' ekoran kecenderungan menyekat kandungan kandungan berita di dalam talian.

 

Dalam satu kenyataan media yang ditandatangani enam wartawan kanan iaitu Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr. Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr. G. Manimaran menyuarakan kebimbangan mereka selepas SKMM kerap memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan terhadap kandungan di portal berita mereka.

 

"Kami sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai 'menyinggung' itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

 

"Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.


 

wartawan
Tan Sri Johan Jaaffar


 

"Kita telah melihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media.

 

wartawan
Datuk Dr. Chamil Wariya

 

Katanya, aduan daripada pengamal media bahawa laman web mereka disekat semakin meningkat dan ia merupakan trend tidak sihat yang harus dihentikan serta-merta. 

 

Kumpulan itu percaya bahawa badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan lain, dan oleh itu, menyekat laman web bukanlah salah satu daripadanya.

 

wartawan
Datuk A. Kadir Jasin

 

"Walaupun kami memahami Internet telah menjadi pencetus kebencian dan penyebar maklumat yang salah namun kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika.

 

"Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu (fake news) sudah sampai pada tahap krisis.

 

"Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya. - DagangNews.com