SoftBank melabur RM250 juta dalam anak syarikat Axiata | DagangNews Skip to main content

SoftBank melabur RM250 juta dalam anak syarikat Axiata

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Firma Jepun, SoftBank Corp (SoftBank) memperuntukkan RM250 juta nilai pelaburan dalam anak syarikat Axiata Group Bhd, ADA. 

 

Pelaburan itu bertujuan memperluas dan mempercepatkan perniagaan pemasaran digital analisis, data dan kecerdasan buatan (AI) Axiata di rantau Asia Tenggara.

 

Menerusi langkah itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris mendedahkan SoftBank bakal memiliki 23.07% kepentingan dalam ADA, membawa nilai anak syarikatnya pada RM1.07 bilion. 

 

Axiata Digital Services pula akan kekal sebagai pemegang saham majoriti ADA pada 63.47% susulan pelaburan tersebut.

 

"Bersama-sama dengan perkongsian Sumitomo yang sedia ada, kami menjangkakan perikatan strategik dengan SoftBank ini akan meningkatkan lagi momentum pertumbuhan ADA di rantau ini kerana ia membuka peluang sinergi yang akan membentuk satu daripada tonggak untuk mencapai cita-cita Axiata sebagai pemacu digital," katanya menurut laporan Bernama.

 

Pelaburan itu berpotensi menawarkan manfaat kepada ADA menerusi pembukaan peluang sinergi global yang signifikan, tambah Izzaddin.

 

"Lebih banyak jenama berbanding sebelum ini di Asia yang beralih kepada analisis data dan AI untuk membezakan produk dan perkhidmatan mereka dalam industri pemasaran digital yang mempunyai banyak persaingan.

 

"Menerusi perniagaan tambahan dan rangsangan modal ini, kami berada di kedudukan lebih baik untuk membangunkan model AI bagi sasaran yang tepat, melabur dalam analisis kandungan dan mewujudkan platform data untuk menyuarakan pandangan dan membantu pertumbuhan perniagaan," ujar beliau.

 

Ketika ini, ADA berkhidmat kepada lebih 1,300 pelanggan di rantau tersebut dengan merekodkan perolehan tiga kali ganda sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

 

Sementara itu, Pengerusi SoftBank, Ken Miyauchi, berkata perjanjian dengan ADA menandakan tema baharu dalam strategi pertumbuhan firmanya yang membolehkan mereka menggunakan perniagaan pemasaran digital di luar Jepun. - DagangNews.com