Solarvest Borneo, Centexs, Huawei Malaysia lancar tapak uji solar fotovoltaik pintar dan hidrogen hijau di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Solarvest Borneo, Centexs, Huawei Malaysia lancar tapak uji solar fotovoltaik pintar dan hidrogen hijau di Sarawak

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (lima dari kiri) merasmikan pelancaran tapak uji bersama (dua hingga empat dari kiri) Naib Presiden Unit Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng; Pengarah Eksekutif Solarvest, Edmund Tan Chyi Boon; Pengarah Solarvest Borneo, Leon Liew Chee Ing dan Ketua Pengarah Eksekutif Centexs, Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman (dua dari kanan).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Solarvest Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Solarvest Borneo Sdn Bhd (Solarvest Borneo) telah melancarkan tapak uji solar fotovoltaik (PV) pintar dan hidrogen hijau bersama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) dan Huawei Technology (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Solarvest berkata bahawa ini merupakan satu inisiatif untuk membangunkan industri tenaga bersih di wilayah Borneo

 

Menurut kumpulan itu, tapak uji tersebut dibangun, dibina dan dikendali oleh sepasukan bakat Sarawak yang dilatih di Centexs Green Energy Lab dan mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 425 kilowatt-peak (kWp) dengan 780 panel solar, menjadikannya sistem tenaga solar terbesar yang pernah digunakan di Sarawak.

 

Bersepadu dengan sistem penyimpanan bateri, tapak uji itu menawarkan fleksibiliti untuk beroperasi dalam mod hibrid, di dalam dan di luar grid, di mana ia boleh dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga solar bagi menjana hidrogen hijau melalui elektrolisis.

 

Justeru tenaga ini boleh digunakan untuk menggerakkan sistem telekomunikasi 5G melalui sel bahan api yang memanfaatkan tenaga kimia hidrogen untuk menghasilkan tenaga elektrik.

 

Pengarah Solarvest Borneo, Leon Liew Chee Ing berkata pihaknya berharap tapak uji itu boleh menjadi rujukan industri dalam inisiatif pengeluaran hidrogen hijau pada masa hadapan seperti yang dibayangkan oleh Kerajaan Sarawak untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi hidrogen menjelang 2027.

 

"Sarawak bersedia untuk menghasilkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar pertama yang boleh dieksport menjelang 2027.

 

Kami komited menyokong negeri dalam mencapai aspirasinya untuk menjadi kuasa besar tenaga hijau serantau seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19,” tambahnya.

 

Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang diadakan di Centexs, bersempena Simposium Tenaga Hijau Sarawak 2023 (GESS) yang berlangsung selama dua hari. -DagangNews.com