South Malaysia Industries kemuka aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti berhubung pelanggaran Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan | DagangNews Skip to main content

South Malaysia Industries kemuka aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti berhubung pelanggaran Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - South Malaysia Industries Berhad (SMIB) membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) selepas mengenal pasti lebih 20 pihak bertindak bersama Honsin Apparel Sdn. Bhd. (Honsin) dan HiQ Media (Malaysia) Sdn. Bhd. (HIQ) untuk memperoleh lebih daripada 33% pegangan ekuiti dalam SMIB dalam tempoh enam bulan terakhir berakhir 17 Februari 2023.

 

SMIB telah mengemukakan bukti bahawa pihak-pihak tersebut telah melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) Seksyen 218 (2), yang memerlukan mereka membuat tawaran am mandatori bagi memperoleh semua saham dalam SMIB yang tiada dalam pegangan.

 

Ini telah didedahkan dalam kertas mahkamah yang difailkan oleh SMIB untuk mempertahankan terhadap saman yang dibawa oleh Honsin dan HIQ.

 

Selain Prolexus Berhad, syarikat induk Honsin dan HIQ, pihak yang bertindak bersama mereka, antara lain ialah sebuah lagi syarikat tersenarai YB Ventures Berhad, salah seorang Pengarah Eksekutif dan pemegang saham besar kedua-dua Prolexus Berhad dan YB Ventures Berhad bersama-sama. beberapa indivdu terdekat.

 

"Honsin dan HIQ pada 23 Februari 2023 memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam usaha untuk memaksa SMIB memberikan rekod pendeposit (ROD) pada 20 Februari 2023. 

 

"Honsin dan HIQ telah memaklumkan hasrat mereka untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi menggantikan keseluruhan Lembaga Pengarah SMIB yang terdiri daripada lima orang termasuk semua pengarah bebas tanpa sebarang justifikasi atau alasan dan melantik menggantikan mereka, hanya dua orang yang dicalonkan oleh mereka.

 

"Dua pengarah yang dicadangkan oleh Honsin dan HIQ untuk SMIB, Lee Boon Siong, 42 dan Tan Eik Huang, 37 adalah pengarah YB Ventures Berhad, manakala Tan Eik Huang juga pengarah Prolexus Berhad," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

SMIB telah memasukkan penemuan ini dalam aduan kepada SC sebagai bukti sokongan dan dalam afidavitnya sebagai jawapan berikutan ketidakpatuhan Honsin dan HIQ terhadap perintah mahkamah dengan mengemukakan lagi afidavit lima hari selepas tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk penghujahan. 

 

Afidavit lewat Honsin dan HIQ telah disahkan oleh Workshire Share Registration Sdn. Bhd. dan Aldpro Corporate Services Sdn. Bhd. masing-masing. 

 

Kedua-dua pendaftar memberikan pendapat pakar bahawa adalah munasabah untuk syarikat tersenarai awam memberikan ROD syarikat kepada mana-mana pemegang saham untuk menyokong permintaan Honsin dan HIQ untuk ROD SMIB dalam masa kurang daripada dua hari bekerja.

 

SMIB mendapati kedua-dua afidavit pendaftar adalah menyimpang daripada amalan profesional, dengan mereka tidak memberikan nasihat atau pendapat pakar melainkan mereka dilantik oleh syarikat tersenarai awam atau syarikat tersenarai awam lain. - DagangNews.com